Rabu, 11 Oktober 2017 | 3:16pm
DARI kanan, Pengarah Politeknik Merlimau, Rashidah Mustapa, Khamis dan Pensyarah Kanan, Politeknik Merlimau, Shahrul Hapizah Musa melihat buku projek lukisan terukur pada Program NiDEA 2017 anjuran Politeknik Malaysia dan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) di Muzium Rakyat, Banda Hilir. - Foto Khairunisah Lokman
NORPIPAH (tiga dari kiri) merasmikan NiDEA 2017 di Muzium Rakyat, Banda Hilir. - Foto Khairunisah Lokman

Bangunan warisan didokumentasikan dalam lukisan terukur

MELAKA: Langkah mendokumentasikan bangunan warisan dan seni bina tradisional dalam bentuk buku lukisan terukur bagi menjamin pemuliharaan nilai seni warisan negara pada masa depan.

Pengurus Besar, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Khamis Abas berkata, sehingga tahun 2011, sebanyak 58 bangunan berstatus warisan di negeri ini termasuk rumah ibadat, bangunan kerajaan, muzium, sekolah dan rumah tradisional sudah didokumentasikan dalam buku lukisan terukur.

"PERZIM terus bekerjasama rapat dengan Politeknik Malaysia bagi menerbitkan lebih banyak buku lukisan terukur yang mengkhususkan kepada bangunan warisan di negeri ini.

"Malah, kita merancang untuk menerbitkan sekurang-kurang enam buku lukisan terukur pada setiap tahun yang memfokuskan bangunan warisan dengan peruntukan sebanyak RM20,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program National Inherited and Design Exposition (NiDEA) 2017 yang dirasmikan Timbalan EXCO Pembangunan Belia dan Warisan negeri, Datuk Wira Norpipah Abdol di perkarangan Muzium Rakyat, Banda Hilir, di sini, hari ini.

Sementara itu, Norpipah dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha yang dibuat bagi menjejak seni bina, landskap warisan serta pemuliharaan bangunan warisan.

"Usaha dan kajian yang dibuat PERZIM dengan usaha sama Politeknik Malaysia ini memberi kesan positif kepada kedua-dua pihak seterusnya menyumbang ke arah bidang penyelidikan dan pendidikan seni bina negara," katanya.

Berita Harian X