Ahad, 8 Oktober 2017 | 8:16pm
SERAMAI 15 pasangan melangsungkan perkahwinan beramai-ramai di Dataran Kota Iskandar, di sini sempena Ekspo Johor Berkemajuan 2017.
SERAMAI 15 pasangan melangsungkan perkahwinan beramai-ramai di Dataran Kota Iskandar, di sini sempena Ekspo Johor Berkemajuan 2017.

15 pasangan kahwin serentak

ISKANDAR PUTERI: Seramai 15 pasangan melangsungkan perkahwinan beramai-ramai di Dataran Kota Iskandar, di sini sempena Ekspo Johor Berkemajuan 2017.

Majlis Pernikahan Perdana itu anjuran kerajaan negeri dengan semua pengantin berusia 26 hingga 50 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim, berkata semua pasangan dari seluruh negeri ini dinikahkan 15 jurunikah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di hadapan saksi masing-masing.

Katanya, pasangan pengantin berkenaan membayar mas kahwin RM22.50 dan wang sagu hati kepada jurunikah.

"Pasangan pengantin hanya membawa diri, mas kahwin dan wang sagu hati untuk jurunikah, manakala perbelanjaan makanan tetamu, pelamin nikah, pelamin bersanding, kompang dan keperluan lain ditanggung kerajaan negeri.

ABD Mutalip (tengah) bersama 15 pasangan pengantin yang diijabkabulkan Majlis Pernikahan Perdana itu anjuran Kerajaan Negeri Johor di Dataran Kota Iskandar Johor, hari ini.
ABD Mutalip (tengah) bersama 15 pasangan pengantin yang diijabkabulkan Majlis Pernikahan Perdana itu anjuran Kerajaan Negeri Johor di Dataran Kota Iskandar Johor, hari ini.

"Keseluruhan kos ditanggung kerajaan negeri bagi pernikahan 15 pasangan ini sebanyak RM22,000. Setiap pasangan boleh membawa 40 tetamu untuk jamuan makan selepas majlis akad nikah.

"Kita buat majlis pernikahan perdana ini supaya orang luar melihat Islam itu mudah dan Islam sememangnya memudahkan kita dengan melakukan perkara yang wajib," katanya berucap pada majlis itu.

Sementara itu, pasangan Gani Aying, 48, dan Hirdawati Bedol, 41, yang berasal dari Pasir Gudang, bersyukur kerana diijabkabul dengan mudah.

Gani tidak menyangka dinikahkan sendiri oleh Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin dengan disaksikan Penasihat MAINJ, Datuk Noh Gadut.

"Saya bersyukur dinikahkan dengan mudah oleh mufti sendiri. Pernikahan beramai-ramai ini membantu meringankan beban saya bukan sahaja dari segi kos, tetapi juga persiapan," katanya.

Beliau berharap majlis seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu golongan muda berkahwin dan membina keluarga.

Semua 15 pasangan turut berarak mengelilingi Dataran Mahkota selain dihiburkan dengan persembahan kompang.

Berita Harian X