X
Jumaat, 29 September 2017 | 5:26pm
GAMBAR ikan yu di Pasar Sandakan yang viral di laman sosial hingga menimbulkan kemarahan pelbagai pihak. - Foto Ihsan Pembaca
GAMBAR ikan yu di Pasar Sandakan yang viral di laman sosial hingga menimbulkan kemarahan pelbagai pihak. - Foto Ihsan Pembaca

Gambar ikan yu viral bukan spesies terancam

SANDAKAN: Ikan yu yang dijual di pasar Sandakan yang viral di laman sosial hingga menimbulkan kemarahan pelbagai pihak, tidak tersenarai dalam Akta Perikanan 1985 sebagai spesies terancam.

Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Dr Ahemad Sade, berkata berdasarkan gambar ikan yu berkenaan, ia didapati jenis yu ekor panjang atau nama saintifiknya Alopias Pelagicus.

Bagaimanapun, katanya, spesies terbabit tersenarai di bawah Lampiran II Akta Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES) 2008 bermaksud perdagangan antarabangsa spesies itu perlu dikawal menerusi kuota.

"Justeru, eksploitasi domestik ikan yu ekor panjang sama ada ditangkap atau dijual tidak salah di sisi undang-undang.

"Siasatan dalam kes yang berlaku (pasar Sandakan) turut mendapati bukan saja sirip dijual, malah semua bahagian ikan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, gambar ikan yu dengan sirip sudah dipotong di jeti pasar Sandakan menjadi viral, sekali gus menimbulkan kemarahan orang ramai khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan alam sekitar yang mahu kerajaan mengambil tindakan mengharamkan sepenuhnya penjualan ikan yu.

Pada masa ini, daripada 155 spesies ikan yu dan pari di Malaysia, hanya satu spesies ikan yu iaitu Yu Paus Rhinocodon typus dan semua spesies pari dari Famili Pristidae yang lebih dikenali Yu Gergaji, dikategorikan sebagai spesies terancam di bawah Peraturan-Peraturan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999 Akta Perikanan 1985.

Jabatan Perikanan sebelum ini turut mencadangkan enam lagi jenis ikan yu dan dua pari yang disenaraikan dalam Peraturan-Peraturan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999 Akta Perikanan 1985.

Spesies yang dicadangkan itu adalah tiga spesies ikan yu tanduk (hammerhead shark), satu spesies yu sirip putih dan dua spesies ikan pari manta (manta ray).

Ikan yu tanduk itu ialah Sphyrna mokarran (great hammerhead shark), Sphyrna zygaena (smoothhamerhead shark), Eusphyra blochii (winghead shark); ikan yu sirip putih pula ialah Carcharhinus longimanus (oceanis whitetip shark), manakala ikan pari adalah Manta birostris (oceanic manta) dan Manta alfredi (reef manta).

Sementara itu, tinjauan BH di pasar Sandakan mendapati tiada ikan Yu dijual di pasar itu.

Seorang penjual yang hanya mahu dikenali sebagai Remy berkata, ikan yu hanya dijual apabila ikan terbabit termasuk dalam pukat nelayan, tetapi bukan dalam jumlah yang banyak dan dijual antara RM5 hingga RM10 sekilogram.

"Bukan saja dari perairan Sandakan, yu juga boleh diperoleh daripada pembekal ikan dari Lahad Datu atau Semporna," katanya.

Berita Harian X