Khamis, 28 September 2017 | 5:06pm
KELVIN Tan (kanan) bersama Dr Shahrul Zuraidi Idris (kiri) ketika membuat lawatan selepas Perasmian Pelancaran Columbia Asia Hospital Klang. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
KELVIN Tan (kanan) bersama Dr Shahrul Zuraidi Idris (kiri) ketika membuat lawatan selepas Perasmian Pelancaran Columbia Asia Hospital Klang. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Columbia Asia lancar hospital terbaharu di Klang

KLANG: Hospital Columbia Asia melancarkan hospital terbaharunya di Klang hari ini, kemudahan ke-12 yang beroperasi di di Malaysia dan ke-29 di rantau Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif Columbia Asia dan Asia Tenggara, Kelvin Tan, berkata Columbia Asia Hospital Klang yang mula beroperasi sejak Ogos lalu, menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan, kepakaran dan fasiliti moden yang memberi kelainan kepada pesakit, keluarga dan warga korporatnya.

"Susun atur hospital ini lebih cekap dan dan praktikal serta memberi akses mudah dan teratur kepada pesakit untuk ke perkhidmatan kesihatan seperti makmal, radiologi, farmasi dan fisioterapi.

"Hospital ini juga menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menyeluruh melalui Pusat Pemeriksaan Kesihatan yang mampu mengesan tanda-tanda awal penyakit.

"Kami mempunyai lebih 12 pakar perubatan bertauliah dan lebih 100 jururawat serta kakitangan kesihatan yang berkelayakan di Columbia Asia Hospital Klang ini," katanya ketika melancarkan Columbia Asia Hospital Klang, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Columbia Asia Hospital Klang, Wong Wai Mun dan Ketua Perkhidmatan Perubatan dan Pakar Perunding dan Kardiologi, Dr Shahrul Zuraidi Idris.

Kelvin berkata, Columbia Asia Hospital Klang turut dilengkapi tiga dewan pembedahan untuk prosedur pembedahan, sebuah bilik bersalin yang lengkap dengan nurseri jagaan rapi, pusat pembedahan ambulatori untuk pesakit luar, Unit Jagaan Rapi (ICU) dan perkhidmatan kecemasan yang beroperasi 24 jam.

Berita Harian X