Selasa, 26 September 2017 | 7:15pm
TIMBALAN Pengarah Kanan (Klinikal) HUSM, Dr Nik Min Ahmad (tiga dari kiri) ketika ditemui di Auditoriom Perubatan Nuklear, Jabatan Farmasi Kampus Kesihatan USM, Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi

10 kanak-kanak dibantu bedah jantung

KOTA BHARU: Bayi berusia tujuh hari antara 10 kanak-kanak dipilih menjalani pembedahan jantung kongenital oleh pakar bedah dari United Kingdom (UK) di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, selama lima hari bermula Ahad lalu.

Timbalan Pengarah Kanan (Klinikal) HUSM, Dr Nik Min Ahmad, berkata prosedur dikendalikan tujuh pakar termasuk doktor bedah, bius dan jururawat dari UK serta doktor dan jururawat daripada HUSM dan Tabung Kebajikan Persatuan Alumni Doktor USM (PADUCARE).

Dr Nik Min berkata, projek Yayasan Healing Little Heart (HLH) dan HUSM itu bagi membantu kanak-kanak bermasalah seperti jantung berlubang, saluran tersumbat dan injap bocor untuk menjalani pembedahan segera yang sebelum ini dilakukan di Institut Jantung Negara (IJN) atau Hospital Serdang, Selangor.

Katanya, pembedahan itu mempercepatkan waktu menunggu pesakit selain turut mengurangkan kos pembedahan yang mencecah RM50,000 bagi seorang pesakit.

"Setakat ini kita sudah menjalankan pembedahan terhadap empat pesakit setiap hari. Tempoh pembedahan bergantung pada komplikasi pesakit, antara empat hingga lima jam dan ada juga sehingga separuh hari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Auditoriom Perubatan Nuklear, Jabatan Farmasi Kampus Kesihatan USM, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pakar Bedah Kardiotorasik Pediatrik (Pembedahan Kanak-Kanak) HLH, Dr Edward Peng dan Pengerusi PADUCARE, Datuk Dr Jafri Datuk Abdullah.

Nik Min berkata, projek kerjasama itu bermula sejak 2015 dengan kira-kira 40 pesakit jantung mendapat manfaat.

Sementara itu, bapa pesakit, Mohd Fairoz Razali, 34, berkata kerjasama itu membantu anak tunggalnya, Nur Qurratun Ain, 4, yang mengalami kebocoran injap jantung sejak lahir.

Beliau bersyukur anaknya dipilih melakukan pembedahan segera kerana dia hanya bekerja sebagai penoreh getah.

"Bukan saja berpeluang menjalani pembedahan jantung lebih cepat, malah dibantu pula dengan kos ubatan yang mencecah ribuan ringgit.

"Saya sangat bersyukur, berterima kasih dan berharap lebih ramai orang awam menderma kepada PADUCARE bagi menyelamatkan lebih banyak nyawa," katanya.

Berita Harian X