Selasa, 26 September 2017 | 6:22pm
NAIB Canselor UniSZA, Datuk Dr Ahmad Zabaidi A Latif (enam dari kanan) diiringi Pengerusi GABEM, Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik (lima dari kiri) bergambar bersama pelajar selepas merasmikan Program Konsolidasi Patriotisme Ekonomi Bumiputera IPT di UniSZA, hari ini. - Foto Ghazali Kori

GABEM rancang tubuh akademi bantu belia sertai perniagaan

KUALA NERUS: Gabungan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) bercadang mewujudkan Akademi Keusahawanan GABEM (AKG) bagi membantu belia terutama graduan universiti menyertai bidang keusahawanan.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik, berkata bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Kerjasama itu, katanya, bagi menyediakan kepakaran serta beberapa kemudahan lain.

"Cadangan ini fokus membantu lepasan universiti yang berminat dalam bidang keusahawanan. Ia akan dibawa ke dalam mesyuarat tahunan GABEM tidak lama lagi.

"Ini antara usaha bagi meningkatkan ekuiti nasional Bumiputera untuk menguasai ekonomi di negara ini kepada 30 peratus berbanding pencapaian 22 peratus buat masa ini.

"Berdasarkan rekod 2010, daripada 100 syarikat Bumiputera yang berdaftar, hanya 18 peratus boleh kekal dan bergerak maju dalam tempoh lima tahun beroperasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Konsolidasi Patriotisme Ekonomi Bumiputera IPT di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Melalui cadangan berkenaan, katanya, GABEM yakin dapat membantu mencetus semangat keusahawanan dalam kalangan generasi muda, sekali gus meningkatkan pembabitan Bumiputera untuk menguasai bidang ekonomi.

Rahim berkata, faktor kegagalan syarikat Bumiputera bukan disebabkan kekurangan modal atau kemudahan, tetapi sikap dan nilai negatif yang ada pada diri seseorang usahawan itu sendiri.

"Pemikiran negatif banyak mengganggu pencapaian usahawan kita untuk terus mengukuhkan perusahaan mereka, malah faktor lain seperti hasad dengki, tidak mahu berkongsi maklumat dan tidak bekerjasama turut menyumbang kepada kegagalan.

"Justeru, dengan tertubuhnya akademi ini, GABEM yakin kita bersama IPT dan GLC dapat membantu memupuk nilai positif usahawan muda melalui pendekatan yang lebih Islamik," katanya.

Berita Harian X