Selasa, 26 September 2017 | 2:08pm
ZAHARI Ibrahim. - Foto Zaman Huri Isa
ZAHARI Ibrahim. - Foto Zaman Huri Isa

4 ditahan ceroboh hutan simpan kekal Kelantan

KOTA BHARU: Seramai 54 individu ditahan dan 12 syarikat diambil tindakan kerana menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) di Gua Musang dan Tanah Merah tahun lalu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Datuk Zahari Ibrahim, berkata sebanyak 16 kes pencerobohan hutan direkodkan tahun lalu di dua kawasan terbabit.

Katanya, ia membabitkan penebangan pokok tanpa kebenaran, penempatan haram dan mengambil hasil mineral termasuk emas tanpa kelulusan.

"Menerusi operasi yang dijalankan, kita merampas pelbagai barangan termasuk jentera berat bernilai lebih RM500,000.

"Seramai 54 individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 84 (1), Seksyen 87, Seksyen 3 (2) Akta Perhutanan Negara 1984.

"Kita memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak menceroboh HSK. Penceroboh akan dikenakan hukuman setimpal kerana tindakan mereka merugikan hasil kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zahari berkata, individu atau syarikat yang mahu memasuki kawasan HSK perlu mendapat kebenaran JPNK mengikut Seksyen 47 (1) Enakmen Perhutanan Negara 1984.

Katanya, bagi lesen melombong emas atau mineral di kawasan HSK, perlu mendapatkan kelulusan pejabat tanah dan galian (PTG).

"Kita menasihatkan masyarakat supaya tampil membuat laporan jika mempunyai maklumat kegiatan terbabit. Jabatan Perhutanan akan terus membuat pemantauan bagi membendung kegiatan itu," katanya.

Berita Harian X