Sabtu, 23 September 2017 | 2:22pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (empat dari kiri) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jais Sarday (tiga dari kanan) bersama wakil penerima pada Majlis Penyerahan Kunci RMMJ Taman Scientex, Pasir Gudang. - Foto Nurul Amanina Suhaini
MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (empat dari kiri) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jais Sarday (tiga dari kanan) bersama wakil penerima pada Majlis Penyerahan Kunci RMMJ Taman Scientex, Pasir Gudang. - Foto Nurul Amanina Suhaini

588 unit RMMJ, Rumah Komuniti di Taman Scientex

PASIR GUDANG: Sebanyak 588 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan Rumah Komuniti Pakej B di Taman Scientex, dekat sini, siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pembeli hari ini.

Ia membabitkan 191 RMMJ pada harga RM150,000 dan 397 unit Rumah Komuniti Pakej B pada harga RM80,000.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata inisiatif syarikat Scientex Berhad itu menyokong usaha kerajaan negeri menyediakan kemudahan asas sangat penting untuk rakyat.

Katanya, kerajaan negeri sedar dalam keadaan ekonomi Johor yang sedang berkembang pesat, pembangunan dan kemajuan tidak bermakna jika rakyat masih belum mempunyai kediaman sempurna dan selesa.

"Bagi kerajaan negeri, apalah makna pembangunan jika hidup rakyat tidak sejahtera. Kerajaan negeri sedar antara perkara boleh menyempurnakan kesejahteraan adalah jika memiliki rumah sendiri.

"Menjadi hasrat kerajaan negeri untuk melihat di Johor ini, setiap rakyat yang tinggal di bandar atau luar bandar, tidak kira yang berada atau tidak, mereka mempunyai kediaman sempurna.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci RMMJ Taman Scientex, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jais Sarday.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri meletakkan fokus antara yang terpenting iaitu aspirasi dan hasrat untuk membina lebih banyak lagi rumah yang diperlukan seluruh lapisan masyarakat.

Berita Harian X