Isnin, 18 September 2017 | 11:17am
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Datuk Maimunah Mohd Sharif. - Foto Amir Irsyad Omar

MBPP nafi ada tunggakan caruman perparitan

GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini, menafikan ada tunggakan bayaran caruman perparitan yang perlu dijelaskan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri seperti dinyatakan dalam Laporan Audit Pulau Pinang 2016.

Datuk Bandar, Datuk Maimunah Mohd Sharif, berkata jumlah tunggakan dinyatakan dalam Laporan Audit Pulau Pinang 2016 itu dipercayai tidak membabitkan MBPP, sebaliknya berkemungkinan hanya bagi kawasan seliaan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tiada maklumat mengenai jumlah keseluruhan pembayaran caruman perparitan yang dikenakan ke atas pemaju swasta yang dibuat kepada JPS.


EXCO Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo (kanan) ditemani Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Maimunah Mohd Sharif hadir meninjau Sungai Pinang di Kampung Kebun Lama, Jalan Langkawi. - Foto NSTP/Danial Saad

"Saya rasa Laporan Audit Pulau Pinang 2016 menjurus sepenuhnya kepada tunggakan di MPSP kerana seingat saya MBPP tiada tunggakan membabitkan caruman perparitan ini.

"Bagaimanapun, saya enggan beri komen mengenai MPSP," katanya pada sidang media selepas melawat Sungai Pinang di sini, hari ini.

Maimunah ialah bekas Yang Dipertua MPSP, sebelum menjadi Datuk Bandar MBPP bagi menggantikan Datuk Patahiyah Ismail yang bersara wajib, pada Julai lalu.

Semalam, Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengakui tidak tahu mengenai kegagalan menyalurkan dana sekurang-kurangnya RM22.09 juta hasil caruman perparitan kepada JPS Pulau Pinang, sejak 2008 hingga Jun tahun lalu.

Dana bernilai RM22.09 juta yang dinyatakan dalam Laporan Audit Pulau Pinang 2016 itu dikatakan hanya merangkumi jumlah caruman perparitan oleh pihak MPSP dan tidak termasuk nilai tertunggak di MBPP.


EXCO Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo (kiri) ditemani Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Maimunah Mohd Sharif menunjukkan paras air banjir pada Jumaat lalu, semasa hadir meninjau Sungai Pinang di Kampung Kebun Lama, Jalan Langkawi. - Foto NSTP/Danial Saad

Berita Harian X