Sabtu, 16 September 2017 | 5:02pm
SERAMAI 35 pasangan dinikahkan serentak menerusi program Majlis Nikah Jama'ie Syari'e Peringkat Negeri Perak 2017 di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, hari ini. - Foto Effendy Rashid
SERAMAI 35 pasangan dinikahkan serentak menerusi program Majlis Nikah Jama'ie Syari'e Peringkat Negeri Perak 2017 di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, hari ini. - Foto Effendy Rashid

35 pasangan nikah serentak

IPOH: Seramai 35 pasangan dinikahkan serentak menerusi program Majlis Nikah Jama'ie Syari'e Peringkat Negeri Perak 2017 di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini, hari ini.

Program kali kelima anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu bermula jam 10 pagi dengan khutbah nikah disampaikan oleh Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, Rujuk Orang Islam Negeri Perak, Zakaria Abd Razak dan disusuli dengan majlis ijab dan kabul.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria, merasmikan majlis yang diadakan sempena sambutan penubuhan Malaysia hari ini.

Hadir sama, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.

Selesai majlis pernikahan, pasangan pengantin berusia 18 hingga 44 tahun itu diarak ke dewan jamuan makan di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) untuk majlis makan beradab.

Semua pasangan pengantin dibawa ke sebuah hotel di bandar raya ini secara konvoi sebelum meneruskan majlis resepsi yang akan diadakan di hotel berkenaan, malam ini.

Pasangan kembar, Muhamad Hafiz Mohamad Salim dan adiknya Muhamad Afiq, 25, bersama pasangan masing-masing berasa bertuah memilih detik hari bersejarah negara hari ini.

Muhamad Hafiz bersama kembarnya membuat keputusan menyertai program dan membuat persiapan dalam tempoh dua bulan.

"Mulanya adik yang bercadang menyertai program ini, kemudian saya dan pasangan berbincang dan turut serta selepas mendapat persetujuan daripada keluarga.

"Saya dan adik kembar sebelum ini tidak pernah terfikir atau merancang berkahwin serentak hari yang sama, namun semua ini takdir dan sudah jodoh," katanya yang menjadi pasangan kepada Asthma Husna Zainal Abidin, 24.

Sementara, Muhamad Afiq berkata, susun atur program itu memberi kemudahan dan manfaat kepada pasangan mendirikan rumah tangga mengikut syarak.

"Saya bersyukur kerana majlis lengkap dan penyusunan acara mengikut tuntutan agama, meriah serta menjimatkan," katanya yang menjadi pasangan kepada Nur Izzah Zahirah Ahmad Khidir, 20.

Berita Harian X