Khamis, 31 Ogos 2017 | 8:25am
ANGGOTA APM memantau keadaan jambatan Bailey yang runtuh susulan banjir di Kampung Melangkap Baru, Kota Belud, Sabah, petang semalam. - Foto Ihsan APM
KEADAAN jambatan Bailey yang runtuh susulan banjir di Kampung Melangkap Baru, Kota Belud, Sabah, petang semalam. - Foto Ihsan APM
KEADAAN jambatan Bailey yang runtuh susulan banjir di Kampung Melangkap Baru, Kota Belud, Sabah, petang semalam. - Foto Ihsan APM

Banjir jejas 17 penduduk

KOTA BELUD: Seramai 17 penduduk daripada lima keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Tun Said, akibat banjir, malam tadi.

Semua mangsa banjir dipindahkan pada jam 9 malam tadi, susulan hujan lebat sejak petang semalam.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah, Lt Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud, berkata mangsa dipindahkan membabitkan penduduk dari Kampung Kota Belud, Bobot dan Ejuk.

"Hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan tujuh kampung dinaiki air iaitu Kampung Kota Belud, Siasai, Bobot, Ejuk, Menunggui, Linau dan Gunding," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata lima kampung dan sebuah sekolah terjejas apabila jambatan bailey di Kampung Melangkap Baru runtuh akibat banjir susulan hujan lebat lebih tiga jam di Hulu Kadamaian, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.35 petang itu, jambatan sepanjang 40 meter berkenaan difahamkan runtuh dan rosak akibat hentakan banjir, menyebabkan hakisan di kawasan jambatan berkenaan.

"Kampung terjejas ialah Kampung Melangkab Tiong, Melangkap Nariou, Melangkap Kapa, Gansurai dan Tinata serta Sekolah Kebangsaan (SK) Gansurai.

"Jambatan ini menjadi laluan utama bagi penduduk kampung dan sekolah yang terjejas.

"Bagaimanapun, penduduk boleh menggunakan Jalan Podos sebagai laluan alternatif untuk ke pekan Kota Belud.

"Hujan lebat dan renyai-renyai melebihi tiga jam di Hulu Kadamaian menyebabkan paras air di Sungai Kadamaian meningkat sekali gus menyebabkan hakisan di bahagian bawah jambatan berkenaan," katanya.

Berita Harian X