Isnin, 28 Ogos 2017 | 4:54pm
Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu Zawawi Ali (tengah) melepaskan benih udang galah ke dalam Sungai Terengganu di Pengkalan Penambang, Beladau hari ini.Kira-kira 60,000 ekor anak udang galah dilepaskan ke sungai sebagai usaha meningkatkan pendapatan nelayan dan tarikan pemancing udang galah di sepanjang Sungai Terengganu. - Foto BERNAMA

Tuai sebelum banjir

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perikanan Terengganu meminta penternak ikan sungai di negeri ini supaya menuai hasil ternakan yang matang selewat-lewatnya Oktober ini, bagi mengelak kerugian jika tiba musim tengkujuh.

Pengarahnya, Zawawi Ali, berkata persediaan awal sudah dilakukan oleh jabatan bagi membantu penternak dan 236 nelayan sungai di negeri ini sekiranya berlaku banjir teruk.

Beliau berkata, sudah menjadi kelaziman setiap kali musim tengkujuh, penternak ikan sangkar akan mengalami kerugian besar.

Pada musim tengkujuh yang lalu, katanya, kebanyakan mereka kerugian antara RM10,000 hingga RM20,000 bagi setiap sangkar.

"Bagi mengelak kerugian akibat sangkar dibawa arus dan rosak akibat kayu hanyut serta pokok tumbang, jabatan menyediakan beberapa kemudahan seperti membekalkan tali untuk mengikat sangkar serta bot untuk membantu mengalihkan sangkar dan kayu hanyut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Bersama-sama Penternak dan Pelepasan 5,800 Anak Udang Galah, di Dataran Pengkalan Penambang, Beladau Kepong di sini, hari ini.

Zawawi berkata, pihaknya juga membuat persediaan awal dengan melakukan penyelarasan ternakan ikan sungai dengan cara sistematik supaya ikan dapat dituai sebelum musim tengkujuh.

Selepas musim tengkujuh sekitar Februari dan Mac lalu, katanya, kebanyakan penternak melakukan pembenihan ikan dengan segera supaya ternakan ikan matang sebelum Oktober.

"Dengan cara ini, kita dapat membantu mengelak pembaziran dan masalah ikan mati semasa musin tengkujuh," katanya.

Sementara itu, Zawawi berkata, sebanyak 1.8 juta anak udang galah sudah dilepaskan di tujuh sungai di seluruh negeri sejak 2011.

Beliau berkata, pelepasan anak udang galah dilaksanakan setiap tahun nagi membantu meningkatkan populasi udang galah, selain menggalakkan pemancing dan nelayan mendapat sumber udang yang mencukupi.

"Melalui data yang kita peroleh, pendapatan hasil daripada tangkapan udang galah di negeri ini berada pada tahap memberangsangkan dan tidak mempunyai sebarang masalah bekalan.

"Kaedah tangkapan secara berhemah iaitu dengan menggunakan pancing dan pukat, tidak menjejaskan populasi udang galah," katanya.

Berita Harian X