Isnin, 28 Ogos 2017 | 3:17pm
Anakanda Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Abdullah dan Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Adnan Hussain (kiri) melepaskan benih ikan kelah di Empangan Chereh. - Foto Mohd Rafi Mamat
Anakanda Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Abdullah dan Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Adnan Hussain (kiri) melepaskan benih ikan kelah di Empangan Chereh. - Foto Mohd Rafi Mamat

Empangan Chereh jadi santuari induk ikan

KUANTAN: Usaha menjadikan Empangan Chereh, di sini, sebagai santuari pelbagai jenis ikan sungai bagi menghasilkan induk berkualiti dilakukan menerusi program pelepasan benih setiap tahun.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Adnan Hussain, berkata pelepasan benih ikan seperti kelah, temelian, kerai, lampam sungai, sebarau, terbol dan baung dilakukan sejak tiga tahun lalu.

Setiap tahun, beliau berkata, kira-kira 20,000 hingga 25,000 benih ikan dilepaskan secara berperingkat-peringkat dan pihaknya turut melakukan bancian atau inventori bagi menentukan saiz serta peratus ikan yang ada di empangan terbabit.

"Pelepasan benih ikan sungai di Empangan Chereh hanya dilakukan di tempat tertentu saja membabitkan kawasan sungai yang tidak terlalu dalam dan mempunyai banyak lubuk serta tumbuhan di tepi air.

"Apabila ikan yang dilepaskan mencapai saiz sesuai untuk dijadikan induk seperti kelah, sebarau, baung dan temelian, ia kemudian akan ditangkap dan ditempatkan di Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jerantut bagi tujuan pembiakan benih anak ikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada program pelepasan benih ikan termasuk ikan kerai, temelian, kelah dan lampam.

Majlis itu disempurnakan oleh anakanda Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Abdullah.

Adnan berkata, ikan di Empangan Chereh menjadi simpanan pelbagai jenis ikan sungai yang berkualiti dan terkenal di Pahang, justeru larangan menangkap ikan di situ dikuat kuasa mengikut Akta Perikanan 1985.

Katanya, rondaan secara berkala dilakukan di Empangan Chereh bagi membendung kegiatan menangkap ikan dan tindakan tegas akan dikenakan kepada individu yang terbukti melakukan kesalahan.

"Saya berharap ahli masyarakat dan pihak berkuasa yang mengawal selia empangan ini dapat memberi kerjasama dengan melaporkan kepada Jabatan Perikanan Pahang jika mengesan kegiatan menangkap ikan," katanya.

INFO

* Empangan Chereh terletak kira-kira 64 kilomter (KM) dari bandar Kuantan.

* Luasnya ialah 16.2 KM persegi dan boleh menampung 260 juta meter padu air.

* 15,200 hektar - luas seluruh kawasan takungan air dan Hutan Simpan Chereh

Berita Harian X