Isnin, 28 Ogos 2017 | 2:58pm
TUNKU Temenggong, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah menyempurnakan penyampaian diploma sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS) di POLIMAS, di Jitra, hari ini - Foto Noorazura Abdul Rahman

Bahasa Inggeris untuk kuasai ilmu pengetahuan

JITRA: Tunku Temenggong, Tan Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah mengingatkan graduan agar menguasai bahasa Inggeris demi memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran yang rata-ratanya dalam bahasa berkenaan.

Baginda bertitah, apabila menguasai bahasa ilmu itu juga, graduan akan lebih mudah mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik.

"Bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu yang diguna pakai hampir seantero dunia, dengan ini, saya suka mengingatkan graduan agar mampu berbahasa Inggeris.

"Graduan akan memperoleh maklumat sebanyak mungkin daripada pelbagai sumber yang rata-rata dalam Bahasa Inggeris dan seterusnya berjaya dalam kehidupan seperti kata Mahatma Gandi 'You Must Be The Change, You Want To See In The World'," titah baginda.

Baginda bertitah sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS) di sini.

Baginda juga menyeru warga POLIMAS melonjakkan kecemerlangan institusi POLIMAS sebagai teraju Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di rantau ini.

Titah baginda, pembangunan modal insan dalam perkhidmatan teknikal, kejuruteraan, komersial dan teknologi maklumat amat penting bagi menjana dan menyediakan sumber manusia untuk merealisasikan misi nasional dengan menjadikan Malaysia negara maju.

"Beta mengharapkan pelajar POLIMAS dapat menyumbang ke arah pembangunan negara, ..Beta difahamkan POLIMAS akan diakreditasi oleh Asia Pacific Accreditation and Certification Commision (APACC) pada Oktober ini.

"Justeru kejayaan POLIMAS dalam akreditasi ini amat penting untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai institusi TVET yang unggul di rantau Asia. Beta yakin anda semua mampu melaksanakan visi dan misi ini," titah baginda.

Berita Harian X