Khamis, 24 Ogos 2017 | 4:16pm
GURU dan murid-murid memperagakan bendera yang dihasilkan pada Majlis Pelancaran Penghasilan Jalur Gemilang dan Bendera Sarawak dari Tudung Botol di Sekolah Kebangsaan Rancangan Perumahan Rakyat Jalan Astana. - Foto Nadim Bokhari

Tudung botol semarakkan sambutan Hari Kebangsaan

PETRA JAYA: Pencapaian bukanlah segala-galanya, sebaliknya hasrat untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan Ke-60 menjadi keutamaan murid-murid di sini, menghasilkan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak daripada tudung botol.

Murid-murid Sekolah Kebangsaan Rancangan Perumahan Rakyat Jalan Astana itu juga sedang membina model Menara Berkembar Petronas, juga menggunakan tudung botol.

Guru Besarnya, Assahari Ally Hussein, berkata kira-kira 6,080 tudung botol digunakan untuk menghasilkan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak, manakala lebih 50,000 lagi akan digunakan untuk membina model Menara Berkembar Petronas

Beliau berkata, pihak sekolah merancang untuk meletakkan nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Assahari berkata, walaupun mereka berusaha untuk mengejar pencapaian MBOR, matlamat utama yang lebih penting ialah menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan murid.

"Jalur Gemilang dan bendera negeri tentunya akan menerbitkan rasa cinta terhadap negara manakala Menara Berkembar Petronas, antara lambang pencapaian luar biasa negara yang menjadi kebangsaan rakyat.

"Menerusi usaha ini, kami percaya semangat murid untuk menyayangi negara akan terus kukuh dan tertanam dalam jiwa selama-lamanya," katanya ketika ditemui pada Majlis Ambang Hari Kebangsaan di sekolah itu, hari ini.

Assahari berkata, guru dan murid mengutip tudung botol sejak Jun lalu dan sehingga Julai, mereka berjaya mengumpul sebanyak 61,322 tudung botol.

Beliau berkata, idea itu timbul selepas pihaknya menyedari, suasana sambutan Hari Kebangsaan kini semakin suram.

"Kami melakukan dengan cara kami sendiri untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.

"Kami berharap usaha ini akan terus menyemarakkan lagi semangat murid dan mendidik mereka untuk menghargai negara," katanya sambil memaklumkan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak dari tudung botol itu dihasilkan oleh 50 murid dan 10 guru dalam tempoh seminggu.

Info

1,003 murid dan guru mengutip tudung botol

Berita Harian X