Rabu, 23 Ogos 2017 | 6:37pm
SEBAHAGIAN penduduk Taman Kempadang Jaya yang menyertai Sambutan Bulan Kemerdekaan taman berkenaan. - Foto Shahrinnahhar Latib

Jahit untuk anak

KUANTAN: Bukan usaha dijadikan ukuran tetapi niat untuk menyemai semangat cintakan negara menjadi keutamaan buat Ramlah Abdul Majid yang menjahit sendiri pakaian yang diperbuat daripada Jalur Gemilang untuk anaknya berusia lima tahun.

Suri rumah itu sanggup bersengkang mata demi menjahit baju supaya Intan Nur Zulaikha Sham Sohaimi, lima tahun dapat memakainya sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Taman Kempadang Jaya, di sini, hari ini.

Ramlah, 35, berkata, beliau berusaha menjahit pakaian anaknya bagi menyuntik semangat patrotik sekali gus membolehkan anaknya tampil berbeza daripada yang lain bersempena sambutan hari kemerdekaan.

"Saya beli Jalur Gemilang dan menjahitnya menjadi sehelai baju.

"Sejak mula memakainya, Intan tidak putus-putus tersenyum dan begitu teruja untuk meraikan Hari Kebangsaan dan kehadirannya ke program berkenaan boleh membantu memahami erti kemerdekaan dan kecintaan kepada negara," katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Pada program itu, lebih 200 penduduk sekitar taman berkenaan menzahirkan rasa kecintaan mereka kepada negara sempena sambutan bulan kemerdekaan dengan pelbagai kegiatan bertemakan kemerdekaan dan semangat cintakan negara.

Antara acara mencuri tumpuan ialah pakaian bertemakan bendera Malaysia yang diperagakan oleh kanak-kanak, pertandingan menghias basikal dan pertandingan mewarna.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon Empat taman berkenaan, Abdul Yazid Mohamed berkata, program yang julung kali diadakan di kawasan itu untuk membangkitkan semangat cintakan negara dan mengeratkan hubungan antara penduduk.

"Program yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ini bukan sahaja membangkitkan semangat patriotik tetapi turut diisi dengan ceramah keselamatan kejiranan," katanya.

Berita Harian X