Selasa, 22 Ogos 2017 | 3:59pm
M Chandra (kiri) menunjukkan beg yang berisi syabu pada sidang media di IPD Kota Kinabalu. - Foto PDRM

Syabu RM25,000 dirampas di Sembulan

KOTA KINABALU: Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita dan merampas dadah jenis syabu bernilai RM25,000 dalam serbuan di sekitar kawasan Sembulan, dekat sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian pada jam 12.15 tengah hari itu, semua yang ditahan adalah penganggur warga tempatan berusia antara 23 hingga 30 tahun.

Semua suspek ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Kinabalu susulan pemantauan ke atas sebuah PERODUA Kancil dinaiki dua suspek dipercayai pasangan kekasih, manakala seorang lagi menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata ketika polis menghampiri kereta dan motosikal itu, semua suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan selepas polis mengepung kawasan terbabit.

"Pemeriksaan lanjut terhadap suspek lelaki berumur 23 tahun yang menunggang motosikal menemui satu beg plastik berwarna hitam mengandungi lima paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki syabu dalam beg silang dibawanya.

"Syabu yang dirampas dianggarkan seberat 251.19 gram manakala pemeriksaan terhadap pasangan kekasih berumur 28 dan 30 tahun tidak menemui apa-apa barang salah, namun kedua-duanya didapati positif dadah," katanya di sini, hari ini.

Semua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan direman hingga 28 Ogos ini, manakala PERODUA Kancil dan motosikal terbabit disita untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X