Sabtu, 19 Ogos 2017 | 12:47pm
RAZALI Ibrahim (tengah) mendengar penerangan daripada peserta e-Rezeki e-Usahawan pada Majlis Pelancaran Program e-Rezeki e Usahawan di Dewan Tun Sulaiman Ninam Shah, Bangunan UMNO Bahagian Muar. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Jana pendapatan secara dalam talian

MUAR: Kira-kira 1,000 peserta terutama golongan B-40 di daerah ini dijangka menyertai Program e-Rezeki e-Usahawan tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, berkata program yang disediakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Sdn Bhd itu selari dengan perkembangan ekonomi digital yang berkembang dengan pesat.

Beliau berkata, program itu membuka peluang baharu untuk meningkatkan pendapatan menerusi perniagaan secara dalam talian.

"Kerajaan sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai insentif untuk meningkatkan ekonomi negara termasuk menyediakan program e-Rezeki dan e-Usahawan bagi membantu rakyat menjana pendapatan baharu.

"MDEC menyediakan bimbingan dan latihan bagi membantu mereka menjana pendapatan tambahan menerusi perniagaan digital," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Progran e-Rezeki e-Usahawan #youcanduit Parlimen Muar di Dewan Tun Sulaiman Ninam Shah, Bangunan UMNO Muar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Zaiton Ismail dan Pengarah MDEC, Darzy Norhalim.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, menerusi program ini, peserta akan didedahkan dengan maklumat serta peluang perniagaan digital sama ada perniagaan berteraskan produk atau perkhidmatan.

Berita Harian X