Jumaat, 18 Ogos 2017 | 8:52pm

Pusat Agihan Zakat MAIWP mudahkan agihan untuk asnaf

 

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menubuhkan Pusat Agihan Zakat (PAZA) bagi memudahkan urusan agihan zakat kepada asnaf.

Berbeza dengan negeri lain yang mempunyai pejabat zakat di setiap daerah, PAZA ditubuhkan mengikut kawasan Parlimen.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Paimuzi Yahya, berkata kaedah itu terbukti amat memudahkan dan mampu memperluaskan lagi agihan bantuan zakat.

"Di Wilayah Persekutuan, tiada daerah yang menghubungkan pejabat zakat dengan masyarakat. Sebelum ini, pemohon terpaksa hadir ke Baitulmal MAIWP, kini hanya perlu ke PAZA berhampiran.

"PAZA ternyata memberi impak dan manfaat besar seperti menjimatkan kos, masa dan tenaga asnaf sendiri. Sehingga kini, terdapat sembilan PAZA sudah dibuka." katanya dalam kenyataan, semalam.

Paimuzi berkata, penubuhan PAZA tidak membabitkan pembinaan bangunan baharu, sebaliknya menggunakan premis sedia ada.

Projek PAZA menerima anugerah emas pada Konvensyen Team Excellence Wilayah Utara 2017 yang berlangsung 15 hingga 6 Ogos lalu di Pulau Pinang.

 

Berita Harian X