Khamis, 17 Ogos 2017 | 5:32pm
ANTARA 104 orang mangsa banjir daripada 26 buah keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir di SK Tehel. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Banjir 3 kali seminggu

JASIN: "Saya tidak tahu berapa lama lagi perlu menghadapi banjir kilat ini. Minggu ini saja, sudah tiga kali kedai runcit saya dinaiki air," kata Rashidi Lamin, 35, penduduk Kampung Tehel di sini.

Beliau berkata, hujan lebat yang tidak menentu sejak Sabtu lalu hingga hari ini menyebabkan kawasan sekitar kedainya yang sebelum ini pulih, kembali ditenggelami air.

Katanya, disebabkan keadaan cuaca begitu baik dan paras air surut kelmarin, dia bersama isterinya membersihkan kedai yang dipenuhi lumpur.

"Bagaimanapun, hujan terlalu lebat pada pagi tadi menyebabkan kedai yang diusahakan bersama keluarga saya kembali dimasuki air setinggi kira-kira 0.3 meter," katanya ketika ditemui.

Rashidi berkata, dia terpaksa menanggung kerugian berjumlah kira-kira RM3,000 selepas beberapa kelengkapan barangan di kedai yang juga satu-satunya sumber pencarian keluarga rosak akibat banjir.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jabatan Pengurusan Banjir Negeri (JPBN) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali, berkata mangsa banjir yang ditempatkan masing-masing di enam pusat pemindahan di daerah Jasin dan Alor Gajah, meningkat kepada 263 orang sehingga jam 4 petang tadi, berbanding 242 orang semalam.

Katanya, seramai 104 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel, Balai Raya Seri Mendapat (37) dan Balai Raya Air Tawar (35) membabitkan 43 keluarga bagi daerah Jasin.

"Bagi daerah Alor Gajah pula, seramai 48 mangsa di SK Belimbing Dalam, Tadika Jabatan Agama Islam (JAIM) Kampung Pulau (20) dan Balai Raya Kampung Seri Jeram (19) dengan membabitkan 21 keluarga,"katanya ketika dihubungi.

BH sebelum ini melaporkan, hujan lebat yang tidak menentu sejak awal Jumaat lalu menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air, sekali gus menyebabkan lebih 500 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan di daerah di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

Berita Harian X