Selasa, 15 Ogos 2017 | 10:43am
SEBAHAGIAN mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Penampang Baru Kimanis. - Foto Rafiqah Dahali

Banjir: 91 penduduk Kota Belud, Papar dipindahkan

KOTA KINABALU: Seramai 91 penduduk daripada 28 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara susulan banjir di dua daerah iaitu Kota Belud dan Papar, setakat jam 9 pagi tadi.

Di Kota Belud, seramai 41 penduduk daripada lapan keluarga dipindahkan ke Dewan Masyarakat Tun Said dengan 10 kampung terjejas, manakala tujuh jalan kampung tidak dapat dilalui oleh semua kenderaan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Kolonel Muliadi Al Hamdi Ladin, berkata antara kampung terjejas ialah Bobot, Ejuk, Siasai Tamu, Siasai Kupang, Donggoi dan Linau.

Sementara itu, katanya, di Papar, seramai 50 penduduk daripada 20 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Penampang Baru, Kimanis.

"Mereka adalah penduduk Kampung Penampang Baru dan Kampung Lingan Baru, manakala tiga lagi kampung turut terjejas iaitu Kampung Belatik, Daingin dan Batu 14 Ulu Kimanis namun tiada mangsa dipindahkan," katanya di sini, hari ini.

Di Kota Marudu, jambatan gantung sepanjang 250 meter di Kampung Botung Narinang runtuh dihanyutkan arus sungai akibat banjir petang semalam, menyebabkan 250 penduduk terperangkap.

Muliadi berkata, seramai 10 murid dan 10 orang awam tidak dapat pulang ke rumah dan terpaksa bermalam di rumah sanak saudara.

Hujan lebat lebih tiga jam di pantai barat Sabah semalam turut mengakibatkan kawasan di beberapa daerah banjir, selain pokok tumbang dan jambatan runtuh namun tiada insiden kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Berita Harian X