Khamis, 10 Ogos 2017 | 12:33pm
MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melihat model rumah pada Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), di Zon 2B4 Taman Impian Emas, Johor Bahru, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim
MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melihat model rumah pada Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), di Zon 2B4 Taman Impian Emas, Johor Bahru, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Rumah mampu milik tiada kepentingan politik

JOHOR BAHRU: Pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) tidak dijalankan berasaskan kepentingan politik, sebaliknya dibuat berdasarkan kawasan permintaan dan keperluan penduduk.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pembinaan rumah mampu milik menjadi agenda penting kerajaan kerana ia kemudahan asas dan ukuran kesejahteraan rakyat.

"Kita tidak buat (bina rumah) ini berasaskan kepentingan politik. Kita ingin memastikan rakyat keseluruhan dalam keadaan sejahtera, tidak kira apa kecenderungan politik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), di Zon 2B4 Taman Impian Emas, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 444 unit RMMJ yang dijual pada harga RM150,000 dibangunkan oleh pemaju taman terbabit, Gunung Impian Development Sdn Bhd. Ia dijangka siap dalam tempoh 36 bulan.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri sentiasa mencari jalan memenuhi permintaan rumah dan komited bagi mencapai sasaran 60,000 rumah mampu milik dibina menjelang tahun 2020.

Beliau berkata, 70 peratus daripada sasaran 60,000 unit akan dibina di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia.

Katanya, pada tahun ini, pihaknya menyasarkan membina 5,490 unit rumah dan setakat ini, 95 peratus atau 5,248 unit sudah disiapkan sehingga Mei tahun ini.

Berita Harian X