Jumaat, 28 Julai 2017 | 2:19pm
PENGERUSI Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye (dua dari kanan) bersama Pengarah Eksekutif NIOSH, Zahrim Osman di Majlis Pra Pelancaran Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Borneo kali ke- 5 di Kota Kinabalu. Turut hadir, Pengurus NIOSH Sabah, Mohd Hussin Abdul Salam (kanan). - Foto Malai Rosmah Tuah

BOSH harap penyertaan organisasi di Borneo

KOTA KINABALU: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan menganjurkan Persidangan serta Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Borneo (BOSH) 2017.

Persidangan dan pameran bertemakan 'Meningkatkan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Untuk Daya Saing Perniagaan' selama dua hari pada 13 dan 14 November ini di Hotel Hilton Kota Kinabalu.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata persidangan terbuka kepada semua organisasi kerajaan dan swasta di Sabah dan Sarawak, selain menyasarkan penyertaan organisasi negara jiran termasuk Brunei, Filipina dan Indonesia.

"NIOSH mahu pendedahan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan disebarkan ke negara luar dan tidak terhad kepada organisasi di negara ini.

"Latihan OSH bagi pekerja mesti dilihat sebagai pelaburan dan bukan perbelanjaan.

"Dalam suasana ekonomi global ini, OSH adalah antara penentu utama kepada daya saing syarikat melalui peningkatan produktiviti dan kecekapan ," katanya pada Prapelancaran Persidangan serta Pameran BOSH 2017 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif NIOSH, Zahrim Osman dan Pengurus Wilayah NIOSH Sabah, Mohd Hussin Abd Salam.

Dianjurkan buat kali kelima, setiap peserta persidangan dikenakan yuran penyertaan RM850 dan pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang NIOSH.

Sementara itu, Lam Thye berkata, Sabah menunjukkan penurunan jumlah kes kemalangan industri dan kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Beliau berkata, menurut statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sebanyak 847 kes berlaku di tempat kerja pada 2015 dan ia menunjukkan penurunan kepada 741 kes bagi tahun lalu.

"Selain itu, 476 kes kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja berlaku pada 2015, penurunan dua peratus berbanding 466 kes tahun lalu," katanya.

Berita Harian X