Selasa, 18 Julai 2017 | 2:17pm
DARI kanan, Naib Presiden Bright Scholar Education Holdings, Alexander Shu Chen, Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn Bhd, Datuk Md Othman Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat, Pengarah Eksekutif, Country Garden Pacificview Sdn Bhd, Datuk Daing A. Malek Daing A. Rahaman, Pengetua Shattuck-St. Mary's Forest City, Graham Gamble dan Pengarah Eksekutif, Country Garden Pacificview Sdn Bhd, Teo Chee Yow memotong riben sebagai simbolik majlis pecah tanah The Shattuck St Mary di Forest City, Gelang Patah. - Foto Zain Ahmed

CGPV labur RM935 juta bangun The Shattuck St Mary

ISKANDAR PUTERI: Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) akan melabur kira-kira RM935 juta bagi membangunkan sekolah antarabangsa, The Shattuck St Mary di Forest City, Gelang Patah, dekat sini.

Ia dibangunkan menerusi tiga fasa, membabitkan fasa pertama sekolah antarabangsa Amerika Syarikat itu merangkumi bangunan mengajar dan pusat persembahan seni visual dengan keluasan 57,829 meter persegi dan dijangka siap pada Ogos tahun depan.

Pengarah Eksekutif CGPV, Datuk Md Othman Yusof, berkata pembinaan fasa pertama sekolah yang menawarkan program pendidikan prasekolah hingga sekolah menengah itu adalah sebahagian daripada 9.8 hektar hab pendidikan di Forest City.

"Kita menjangkakan fasa pertama sekolah antarabangsa The Shattuck St Mary ini siap pada tahun depan.

"Untuk permulaan ini, sekolah ini boleh menampung kira-kira 160 pelajar. Namun antara empat hingga lima tahun akan datang, kita jangkakan jumlah ini akan meningkat kepada 1,000 pelajar, bergantung kepada keperluan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah The Shattuck St Mary di Forest City di sini, hari ini.

Majlis pecah tanah itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat serta Pengarah Eksekutif CGPV, Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman dan Teo Chee Yow.

Turut hadir, Pengetua The Shattuck St Mary Forest City, Graham Gamble dan Naib Presiden Bright Scholar Education Holdings, Alexander Shu Chen.

Md Othman berkata, apabila siap sepenuhnya, sekolah antarabangsa itu mampu menampung sehingga 3,200 pelajar dan pembinaan keseluruhan sekolah berkenaan akan bergantung kepada keperluan semasa.

"Hab pendidikan di Forest City boleh diperluaskan mengikut keperluan dan kita mengalu-alukan mana-mana pihak yang terbabit dalam sektor pendidikan untuk membuka institusi mereka di Forest City," katanya.

Berita Harian X