Isnin, 30 Mei 2022 | 3:08pm
Rafizi Ramli. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Rafizi Ramli. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Rafizi perlu perkukuh PKR demi PRU-15

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, perlu memainkan peranan merapat dan memperkukuhkan kedudukan parti bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Bekas Ahli Parlimen Pandan yang memenangi kedudukan nombor dua parti dalam pemilihan PKR 2022 perlu meneruskan idea yang dibawa ketika kempen diteruskan bagi mengukuhkan lagi PKR sebagai blok politik bersama Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, selepas pemilihan sudah tiba masa ahli PKR sama ada kumpulan menang dan kalah merapatkan kembali parti dan bersedia mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya.

"Nampaknya pemilihan ini memperlihatkan campur aduk dua kumpulan dengan barisan kepemimpinan yang lebih berwarna-warni.

"Inilah masanya semua ahli PKR mengukuhkan kedudukan parti sebagai blok politik daripada terus bergelut sesama sendiri. Semua kena maju ke hadapan demi keutuhan parti," katanya kepada BH.

Beliau mengulas keputusan tidak rasmi Pemilihan PKR yang memperlihatkan kemenangan berpihak kepada kumpulan Rafizi sebagai jawatan Timbalan Presiden PKR menewaskan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Turut melakar kemenangan anggota kumpulan Rafizi iaitu Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bagi jawatan .

Awang Azman berkata, beliau percaya mereka yang tewas dalam pemilihan kali ini tidak akan dipinggirkan parti kerana ada beberapa pemimpin yang mempunyai pengaruh mereka bukan hanya dalam parti, tetapi juga arena politik tanah air.

"Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pastinya tidak akan meminggirkan mereka yang kalah seperti Saifuddin dan Fahmi Fadzil (Pengarah Komunikasi PKR),

"Kumpulan yang kalah ini akan menjadi kumpulan semak dan imbang yang diperlukan parti. Ini satu yang pernah dibuat Anwar apabila beliau melantik Rafizi sebagai Naib Presiden walaupun kalah di tangan (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali pada pemilihan yang lalu," katanya.

Ditanya sejauh mana kumpulan Rafizi dapat membawa angin perubahan suara muda dan kelantangan mereka mengenai parti, katanya, kumpulan Rafizi bukan hanya membawa suara orang muda kerana dalamnya turut disertai mereka yang berpengalaman.

Katanya, wujud persepsi, mereka yang tidak isytihar kumpulan Rafizi sebagai 'team' (pasukan) Saifuddin termasuklah pemimpin muda seperti Fahmi.

"Jadi jika kita menyatakan kemenangan 'team' Rafizi dalam kalangan pemimpin muda adalah tidak tepat. Dalam pasukan Saifuddin juga ada orang muda.

"Kedua-dua pasukan ada campuran orang muda dan lama serta pelbagai. Malah, keputusan di cabang juga bercampur aduk, begitu juga bagi Pemilihan Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK)," katanya.

Beliau berkata, persoalannya kini bagaimana Rafizi dapat melenturkan sikap beliau ketika berkempen dan berada di luar parti untuk diteruskan dalam fasa kepemimpinannya nanti.

"Orang akan menilai sama ada sikap beliau (Rafizi) masih sama ketika berkempen atau berubah, dan hanya masa yang dapat menentukan ini," katanya

Mengenai kuasa baharu dalam kepemimpinan PKR dengan kemenangan kem Rafizi, katanya corak dan kepemimpinan Rafizi tidak akan mudah mengubah corak parti kerana apa saja keputusan parti itu adalah secara konsensus mahupun di dalam PKR atau PH.

Mengulas kekalahan beberapa pemimpin berpengalaman pada pemilihan cabang seperti Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kedah Datuk Seri Johari Abdul, katanya itu adalah adat dalam pemilihan dalam mana-mana parti politik.

Berita Harian X