Ahad, 29 Mei 2022 | 7:25pm
Datuk Johari Abdul.
Datuk Johari Abdul.

Johari Abdul tewas

KUALA LUMPUR: Pemilihan PKR 2022 menyaksikan beberapa pemimpin kanan tewas di cabang masing-masing.

Antara yang mengejutkan kekalahan Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul kepada Ooi Tze Min yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang.

Johari yang juga penyandang jawatan mendapat 464 undi berbanding 567 undi.

Penyelaras Tempat Undi, Hafizal Abdul Mutalib (kiri) meninjau kaunter pendaftaran pengundian fizikal PKR Cabang Tanjung Malim. - Foto hiasan NSTP/ROSMAN SHAMSUDIN
Penyelaras Tempat Undi, Hafizal Abdul Mutalib (kiri) meninjau kaunter pendaftaran pengundian fizikal PKR Cabang Tanjung Malim. - Foto hiasan NSTP/ROSMAN SHAMSUDIN

Turut tewas Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin kepada penyandang jawatan, Mohd Rafee Ibrahim.

Calon Naib Presiden PKR itu yang berpindah dari Cabang Jasin untuk merebut jawatan di Hang Tuah Jaya tewas tipis apabila memperoleh 379 undi, berbanding Mohd Rafee yang mendapat 488 undi.

Naib Presiden PKR, Tian Chua kecundang dalam perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Batu selepas tewas kepada pencabarnya, P Prabakaran yang juga Ahli Parlimen Batu.

Tian Chua tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandangnya sejak 1999 untuk menurunkan suhu persaingan sengit merebut jawatan pada pemilihan kali ini.

Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang mencabar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Cabang Gombak kalah dengan hanya memperoleh 1,215 undi.

Amiruddin memperoleh 1,858 undi di cabang yang dulunya dipegang bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dipecat parti itu.

Sementara itu, dua selebriti yang mencuba nasib di Ampang, Datuk Gerald Hans Isaac dan Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet tewas dalam usaha mereka merebut jawatan ketua cabang.

Di cabang Alor Gajah, Datuk Ginie Lim yang sebelum ini digugurkan daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Melaka, berjaya menewaskan pesaingnya Ahmad Abdul Wahid untuk jawatan ketua cabang.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui kalah kepada Dr Sathia Prakash Nadarajan merebut jawatan Ketua Cabang Hulu Selangor.

June penyandang ketua cabang selama dua penggal memperolehi 1,803 undi, berbanding Dr Prakash menang dengan 1,903 undi.

Berita Harian X