Sabtu, 14 Mei 2022 | 2:06pm

UMNO: MKT akan ada dua pilihan berkaitan pemilihan parti

KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan UMNO menerusi Persidangan Agung Khas (EGM) esok membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) membuat dua pilihan berhubung pemilihan parti.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pilihan itu adalah melanjutkan 18 bulan selepas pemilihan terdahulu seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti sedia ada atau tidak lewat dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

"Sebenarnya tiga tahun pemilihan itu kita kekalkan tetapi jika hampir dengan PRU, kita ada dua pilihan.

"Pilihan pertama, lanjut 18 bulan yang sudah ada dalam Perlembagaan (parti). (Kedua) yang kita nak buat esok ialah tambahan satu lagi, iaitu tidak lewat daripada enam bulan selepas PRU Parlimen," katanya kepada BH, hari ini.

Ahmad berkata, pindaan itu akan membabitkan pemilihan MKT serta peringkat bahagian dan cawangan namun ia tertumpu kepada Fasal 10.16 perlembagaan parti.

Jelasnya, Fasal 10.16 akan memperuntukkan MKT boleh melanjutkan pemilihan parti 18 bulan daripada tempoh pemilihan terdahulu atau tidak lebih enam bulan selepas PRU.

"Jadi dalam erti lain, sebelum ini MKT hanya ada satu pilihan iaitu (lanjutan) 18 bulan tetapi kali ini ada dua pilihan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai persidangan khas itu, Ahli Parlimen Pontian terbabit berkata, persiapan hampir sempurna dan menantikan kehadiran 2,666 perwakilan.

"Esok jam 10 pagi bermula dengan pendaftaran, jam 1.30 tengah hari perwakilan akan masuk dalam Dewan Merdeka. Program akan bermula pada jam 2 petang, dimulai dengan ucapan perasmian oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Kemudian Pengerusi Tetap akan mengambil alih sebelum Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membentangkan usul pindaan Perlembagaan (parti). Selepas itu perwakilan akan mengundi untuk bersetuju," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan ulang tahun UMNO akan diadakan sejurus Persidangan Agung Khas disusuli dengan sambutan Aidilfitri.

Berita Harian X