Jumaat, 13 Mei 2022 | 8:22pm
Suasana pengundian pemilihan calon PKR 2022 bagi PKR Cabang Kuala Terengganu di Bangunan Adil Bukit Besar hari ini. - BERNAMA
Suasana pengundian pemilihan calon PKR 2022 bagi PKR Cabang Kuala Terengganu di Bangunan Adil Bukit Besar hari ini. - BERNAMA

Pengundian pemilihan PKR 2022 di Terengganu, Kelantan lancar

KUALA LUMPUR: Proses pengundian secara fizikal bagi Pemilihan PKR 2022 yang bermula di Terengganu dan Kelantan hari ini, berjalan lancar tanpa sebarang insiden provokasi atau kekecohan.

Di Kelantan, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Seri Mohd Supardi Md Noor berkata, pemilihan bermula 9 pagi membabitkan 14 cabang iaitu Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tumpat, Ketereh, Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Gua Musang.

Bagaimanapun, katanya lima daripada itu iaitu Kuala Krai, Tanah Merah, jeli, Rantau Panjang dan Tumpat hanya membabitkan pengundian bagi pemilihan calon yang akan bertanding di peringkat Pusat sahaja.

"Jawatan ketua cabang untuk lima cabang ini sudah pun disahkan menang tanpa bertanding, begitu juga untuk semua ahli jawatankuasa.

"Jawatan Ketua Cabang PKR negeri juga sudah disahkan menang tanpa bertanding," katanya di pusat pengundian Putera Valley Resort di Tanah Merah, di sini hari ini.

Di Terengganu pula, Pengerusi MPN, Azan Ismail berkata seramai 25,000 ahli PKR di negeri itu layak mengundi secara fizikal di lapan cabang iaitu Kemaman, Besut, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus dan Marang, yang bermula 8.30 pagi.

"Proses pemilihan berjalan lancar, tiada sebarang kekecohan, berjalan dengan semangat kekeluargaan.

"Seramai 15 pengawas pemilih ditempatkan di setiap pusat pengundian dan proses ini juga diperhatikan wakil calon yang bertanding demi memastikan ketelusannya," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, pengundian secara fizikal diteruskan esok bagi Kedah dan Johor; diikuti Pahang dan Wilayah Persekutuan pada Ahad; diikuti Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan (16 Mei); Selangor (21 Mei): serta Perak, Sabah dan Sarawak (22 Mei).

"Pengundian secara dalam talian bagi ahli PKR di luar negara akan diadakan 17 Mei dan undian dalam talian bagi ahli parti selebihnya diadakan antara 18 hingga 20 Mei ini melalui aplikasi ADIL yang diperkenalkan 28 Februari lalu," katanya.

Suasana proses pengundian pemilihan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 bagi PKR Cabang Kuala Terengganu di Bangunan Adil Bukit Besar hari ini. - foto BERNAMA
Suasana proses pengundian pemilihan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 bagi PKR Cabang Kuala Terengganu di Bangunan Adil Bukit Besar hari ini. - foto BERNAMA

Pemilihan PKR diadakan secara hibrid buat julung kalinya, menyaksikan jawatan nombor dua parti itu menjadi tumpuan apabila Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Naib Presiden dilantik Rafizi Ramli, bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kerusi Presiden PKR bagi tempoh 2022-2025 apabila menang tanpa bertanding jawatan itu.

Turut mencuri tumpuan pada pemilihan kali ini adalah empat jawatan Naib Presiden PKR yang menyaksikan 17 calon menawarkan diri bertanding, termasuk Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Saingan mengisi jawatan itu turut membabitkan penyandang Chang Lih Kang; Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, serta Ketua Wanita PKR yang juga Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak; bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak, M A Tinagaran; bekas Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr G.Gunaraj juga bersaing bagi jawatan Naib Presiden PKR.

Keputusan tidak rasmi calon yang menang akan dipaparkan melalui laman web rasmi PKR dalam tempoh 24 jam selepas proses pengundian tamat pada 22 Mei, sementara keputusan rasmi akan diumumkan di Kongres Nasional PKR pada 25 Jun. – BERNAMA

Berita Harian X