Rabu, 11 Mei 2022 | 12:06pm
Datuk Seri Mohamad Hasan.
Datuk Seri Mohamad Hasan.

Parti akan putuskan kedudukan UMNO dalam MN

KUALA LUMPUR: UMNO akan memuktamadkan kedudukan parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) yang dibina bersama PAS selepas menerima pandangan khususnya pimpinan parti di semua peringkat.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata buat masa ini kenyataan berhubung status UMNO dalam MN yang dizahirkan pemimpin tertentu hanya sekadar pandangan individu.

"Biar parti yang buat keputusan. Kepimpinan macam Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sudah beri pandangan dan kita akan bincang dalam mesyuarat Biro Politik, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk dapatkan pandangan dan nasihat apa yang dikatakan presiden parti itu.

"Kita akan buat keputusan di peringkat parti (jadi) saya harap mana-mana individu dari UMNO, tunggulah. Biarlah parti buat keputusan, usah kelam kabut sangat," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan beberapa pemimpin PAS sebelum ini yang membangkitkan keperluan untuk menghidupkan semula MN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ditanya mengenai cadangan akar umbi UMNO yang mahukan MN dibubarkan secara rasmi, beliau berkata parti akan meneliti segala cadangan disuarakan pemimpin dan ahlinya termasuk berhubung gesaan itu.

Menyentuh Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas Ahad ini, Mohamad berkata, pindaan perlembagaan yang dijangka diluluskan perwakilan akan memberi opsyen kepada UMNO dalam menentukan tarikh pemilihan partinya.

Ketika ini, di bawah fasal 10.1.6 perlembagaan UMNO, parti hanya memiliki pilihan untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan dari tempoh tiga tahun seperti termaktub dalam fasal 10 perlembagaan UMNO.

"Selepas ini, kita akan menambah klausa baharu dalam fasal 10.1.6 iaitu (pemilihan parti boleh) dilanjutkan 18 bulan atau enam bulan selepas PRU. Kita ada pilihan," katanya.

Beliau juga yakin pindaan perlembagaan UMNO itu akan diterima dan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) memandangkan UMNO sudah mengikuti segala proses undang-undang seperti disyaratkan.

UMNO akan mengadakan PAU Khas Ahad ini, dengan satu agenda saja iaitu meluluskan usul meminda fasal 10.1.6 Perlembagaan UMNO, bagi membolehkan parti itu menumpukan sepenuh usaha kepada persediaan menghadapi PRU ke-15.

Berita Harian X