Jumaat, 22 April 2022 | 4:44pm
Dr Zaliha (kanan) ketika meninjau pusat pencalonan fizikal Pemilihan PKR di Dewan Ilmu, Perpustakaan Komuniti MBPJ, Petaling Jaya, 9 April lalu. Pemilihan 2022 menggunakan aplikasi 'Adil' bagi proses pencalonan dan pengundian. - BERNAMA/ARKIB
Dr Zaliha (kanan) ketika meninjau pusat pencalonan fizikal Pemilihan PKR di Dewan Ilmu, Perpustakaan Komuniti MBPJ, Petaling Jaya, 9 April lalu. Pemilihan 2022 menggunakan aplikasi 'Adil' bagi proses pencalonan dan pengundian. - BERNAMA/ARKIB

Pemilihan PKR: 11,282 calon tanding majlis pimpinan, cabang

KUALA LUMPUR: Sejumlah 11,282 calon dimuktamadkan bagi merebut jawatan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan jawatankuasa cabang dalam pemilihan PKR bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa, berkata ia merangkumi 20 calon bagi MPP, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya mempertahankan jawatan Presiden PKR untuk penggal kedua tanpa bertanding selepas tidak dicabar dalam pencalonan.

Secara keseluruhan, katanya, JPP menerima sejumlah 11,290 pencalonan, namun lapan individu gagal melepasi saringan selepas melalui proses bantahan dan rayuan.

"Bantahan terhadap calon hanya diterima bagi sekitar lapan orang atas sebab-sebab yang jelas seperti status kebankrapan dan senarai hitam yang ditetapkan oleh Pendaftar Pertubuhan.

"Tahniah buat 11,282 calon yang melepasi saringan dan layak menyertai senarai akhir pencalonan, termasuk 20 calon bagi barisan kepemimpinan tertinggi. Sekali lagi, Datuk Seri Anwar muncul calon tunggal presiden tanpa sebarang pertandingan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Senarai penuh calon boleh dilihat di laman web Pemilihan 2022 di https://pemilihankeadilan2022.com/.

Zaliha berkata, ketika ini, JPP sedang dalam persediaan menghadapi fasa pengundian secara fizikal dan dalam talian yang dijadual berlangsung dari 13 hingga 22 Mei 2022 dengan pekeliling mengenainya telah pun dikeluarkan.

Berdasarkan portal pemilihan PKR, dua pencalonan diterima bagi jawatan timbalan presiden, iaitu bekas Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Selain itu, 17 calon bertembung untuk merebut empat jawatan naib presiden, antaranya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan bekas Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvador.

Turut tercalon merebut jawatan itu ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Ketua Wanita, Fuziah Salleh; Ketua Penerangan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin; Setiausaha Pengelola, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Dua penyandang jawatan naib presiden, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua tidak bertanding mempertahan atau merebut mana-mana jawatan dalam MPP pada pemilihan kali ini.

Sementara itu, Zaliha memaklumkan, seramai 96,983 ahli PKR sudah membuat pendaftaran sebagai pemilih atas talian pada hari terakhir permohonan pendaftaran semalam, termasuk lebih 700 ahli parti yang menetap di luar negara seperti Australia, Brunei dan Singapura.

Katanya, anggota parti yang tidak berkesempatan mendaftar sebagai pemilih dalam talian, boleh melaksanakan tanggungjawab memilih secara fizikal di pusat mengundi yang akan dimuktamadkan lokasinya dalam beberapa hari lagi.

Berita Harian X