Selasa, 22 Februari 2022 | 1:28pm
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong melihat replika kapal tangki ketika meninjau ruang pameran Contemporary Logistics pada majlis perasmian Minggu Maritim Malaysia 2022 di KLCC Convention Centre. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong melihat replika kapal tangki ketika meninjau ruang pameran Contemporary Logistics pada majlis perasmian Minggu Maritim Malaysia 2022 di KLCC Convention Centre. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Jangan buat ramalan awal - Ka Siong

mahani@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Semua pihak diharap tidak membuat ramalan terlalu awal untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya digesa memberi tumpuan kepada kerja.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata beliau tidak mahu mengulas awal sebelum kepemimpinan Barisan Nasional (BN) mengumumkan senarai pencalonan untuk ditandingi ketiga-tiga parti dalam BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor.

"Saya sudah menjawab perkara ini kelmarin (dua hari lalu) bahawa ia tidak ada isu. Semua pihak perlu bersabar kerana dalam sehari atau dua hari ini kepemimpinan akan mengeluarkan senarai pencalonan.

"Jadi, tidak timbul sebarang isu dan saya relaks (bertenang) sahaja. Saya hanya boleh mengulas mengenai ini selepas kita mendapat pencalonan," katanya ketika diminta mengulas mengenai PRN Johor, bulan depan.

Terdahulu, beliau merasmikan Minggu Maritim Malaysia (MMM) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak dan Ketua Pengarah Laut Malaysia, Datuk Baharin Abd Hamid.

Ditanya mengenai peluang MCA untuk mengulangi kejayaan PRN Melaka, Ka Siong berkata, ia terserah kepada rakyat negeri Johor.

"Semua itu terserah kepada rakyat Johor kerana mereka boleh lebih menilai. Pada masa ini tidak penting apa yang dirasakan tetapi yang utama apa rakyat Johor rasakan.

"Justeru, buat masa ini jangan buat ramalan terlalu awal dan yang penting sekarang kita perlu membuat kerja dahulu," katanya.

Berita Harian X