Isnin, 21 Februari 2022 | 5:18pm

MUDA tidak tanding kerusi dimenangi PKR

LABIS: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak akan bertanding di kerusi yang dimenangi oleh PKR, sebaliknya hanya meletakkan calon di kerusi tradisi dimenangi Barisan Nasional (BN) dan BERSATU.

Meskipun rundingan agihan kerusi bersama PKR gagal mencapai kata sepakat, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau kekal dengan komitmen untuk tidak ada pertindihan kerusi sesama parti pembangkang.

"Saya telah lihat kenyataan dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah mengumumkan senarai 20 calon PKR yang akan mewakili parti itu pada PRN Johor, nanti.

"Apa pun komitmen saya sebagai Presiden MUDA adalah untuk memastikan bahawa MUDA tidak akan bertanding di kerusi yang dimenangi oleh PKR yang mana kalau dilihat kerusi kita tandingi hari ini juga adalah kerusi UMNO dan BERSATU kerana kita mahu bawa perubahan jangka masa panjang, bukan sekadar pada pilihan raya semata-mata," katanya di majlis pengumuman tiga calon MUDA di sini, hari ini.

Terdahulu, PKR mengumumkan 20 calon yang akan mewakili parti itu pada PRN Johor, sekali gus menamatkan spekulasi rundingan pembahagian tiga kerusi PKR kepada MUDA yang menjadi teka-teki sebelum ini.

Anwar yang juga Presiden PKR turut dilaporkan berkata, meskipun rundingan mengenai pengagihan kerusi sudah tamat antara PKR dan MUDA, masih ada ruang untuk kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan dalam menghadapi PRN itu.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, MUDA akan cuba sebaik mungkin untuk mencari kata sepakat dan memberi fokus kepada empat calon yang telah diumumkannya setakat ini.

"Komitmen MUDA adalah untuk tidak bertanding di kerusi penyandang (pembangkang), tidak kira DAP, AMANAH ataupun PKR kerana kita mahu fokus (menang) kerusi yang dimenangi BN dan BERSATU," tambahnya.

Dalam pada itu katanya, MUDA juga telah membuat ketetapan untuk menggunakan logo sendiri pada PRN Johor nanti dan akan mengeluarkan tawaran itu kepada pengundi rakyat Johor dalam masa terdekat.

Berita Harian X