Sabtu, 29 Januari 2022 | 4:21pm
Ahmad Zahid mengatakan pemimpin BERSATU hilang kepercayaan terhadap parti sendiri. - Foto UMNO
Ahmad Zahid mengatakan pemimpin BERSATU hilang kepercayaan terhadap parti sendiri. - Foto UMNO

Akar umbi hilang kepercayaan kepada BERSATU

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sedang berdepan defisit kepercayaan, susulan beberapa Ahli Dewan Undangan (ADUN) parti itu keluar parti dan menyertai semula UMNO.

Ahmad Zahid mempersoal kewajaran untuk rakyat diminta yakin kepada BERSATU, sedangkan sebahagian pimpinan akar umbi parti itu bertindak sebaliknya.

"Kesahihan berhubung perkara itu (ADUN keluar BERSATU) pada akhirnya empunya diri jua ada jawapan. Namun jikalah benar, ia suatu refleksi yang jelas lagi nyata.

"Parti yang suatu ketika dulu mendabik dada akan menggantikan UMNO sedang menghadapi defisit keyakinan dalam kalangan pemimpin sendiri," kata Ahmad Zahid melalui Facebooknya, hari ini.

Kelmarin, ADUN Puteri Wangsa yang juga Ketua Bahagian BERSATU Tebrau, Mazlan Bujang, meletak jawatan Ketua Bahagian, sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Selain itu, media turut melaporkan, beberapa ADUN parti pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan keluar dan menyertai UMNO.

Ahmad Zahid mendakwa, situasi itu menunjukkan perbezaan di antara parti yang tulen dan tiruan, dan parti yang cuba menyamai UMNO untuk memperdaya sokongan pengundi hanya bayangan semata-mata serta tidak tulen.

Katanya, asas perjuangan UMNO untuk agama, bangsa dan negara sudah lama disemat dalam parti itu, dan ia bukan retorik atau agitasi politik.

"UMNO juga bukan baharu terbentuk atas asas perjuangan politik individu, dendam kesumat, dengki dan sakit hati serta bertujuan menzalimi seteru.

"UMNO sebenar-benarnya parti politik yang ikhlas dan jujur serta mementingkan rakyat dan negara dalam perjalanan politiknya," katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika sidang media, hari ini. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika sidang media, hari ini. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Berita Harian X