Sabtu, 11 Disember 2021 | 6:46pm
Parti Pakatan Harapan (PKR, DAP, AMANAH) mengadakan sidang media bersama di Ibu Pejabat Parti DAP di Kuching. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI
Parti Pakatan Harapan (PKR, DAP, AMANAH) mengadakan sidang media bersama di Ibu Pejabat Parti DAP di Kuching. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI

DAP perkukuh suara pembangkang

MIRI: Sebagai parti politik yang pragmatik, DAP berhasrat melihat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 mampu memperkukuh suara parti pembangkang di negeri itu.

Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling Sie Kiong, berkata beliau berharap landskap politik di Sarawak akan menjadi lebih seimbang.

"Tanggungjawab kerajaan yang dipilih oleh rakyat ialah membangunkan semua kawasan di negeri ini. Setiap rakyat mempunyai hak kerana mereka turut membayar cukai dan tidak harus dikompromi," katanya hari ini.

Menyentuh kempen DAP menjelang seminggu sebelum hari pengundian, beliau berkata, parti itu menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp untuk menyampaikan mesej kepada pengundi.

Sie Kiong yang bertanding di DUN Pujut, bakal berdepan persaingan lima penjuru dan ditentang oleh Adam Yii Siew Sang daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Bruce Chai Khim Cheong daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Leslie Ting Siong Ngiap daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Chin Fen Siong daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-12 pada 18 Disember ini.

Pada PRN kali ini, DAP bertanding di 26 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, manakala PRN Sarawak ke-11 pada 2016 menyaksikan parti itu menang di tujuh kerusi. – BERNAMA

Perang bendera parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan bendera Parti Sarawak Bersatu (PSB) sekitar Kampung Boyan di Petra Jaya, Kuching. Kampung Boyan yang terletak dalam DUN Pantai Damai melibatkan pertembungan satu lawan satu antara calon GPS, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi menentang calon PSB, Mahmud Sebli pada Pilihan Raya Negeri Ke-12. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

Berita Harian X