Isnin, 6 Disember 2021 | 2:46pm
(Dari kiri) Sanjan, Jerip, Hon Hiung, Siew Hong dan Joshua ketika diumumkan sebagai calon yang sah bertanding di DUN Mambong, Siburan. - Foto NSTP/MELVIN JONI
(Dari kiri) Sanjan, Jerip, Hon Hiung, Siew Hong dan Joshua ketika diumumkan sebagai calon yang sah bertanding di DUN Mambong, Siburan. - Foto NSTP/MELVIN JONI

GPS berdepan empat calon di Mambong

SERIAN: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berdepan saingan sengit untuk mempertahan kerusi disandang selama empat penggal itu dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) ini.

Beliau berdepan tentangan daripada calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK), sekaligus menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Calon PSB ialah Sanjan Daik, 61, Chang Hon Hiung, 57, (DAP), Chong Siew Hung, 45, (ASPIRASI) dan Joshua @ Katok Roman, 61 (PBK).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Mambong, Ranum Bari mengumumkan pencalonan bagi semua calon pada jam 11 pagi di Pusat Penamaan Calon Pejabat Daerah Kecil Siburan.

Beliau berkata, Jerip mengemuka kertas penamaan pada jam 9.01 pagi, diikuti Joshua pada jam 9.05 pagi, Sanjan pada jam 9.10 pagi, Siew Hung pada jam 9.15 pagi dan Hon Hiung pada jam 9.20 pagi.

Katanya, selepas menyemak semua kertas penamaan calon, tiada calon ditolak kertas penamaan.

DUN Mambong menjadi antara kerusi panas pada PRN-12 ini, iaitu kerusi tradisi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) ditandingi oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Ini susulan tindakan Jerip menyertai PBB, selepas keluar dari PSB, yang juga parti serpihan SUPP.

Jerip menyandang kerusi DUN Mambong sejak PRN 2001 ketika menyertai SUPP, dan diletakkan sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) Sarawak pada PRN 2016, ketika beliau menyertai Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang kini dikenali sebagai PSB.

DUN Mambong mempunyai seramai 17,467 pemilih berdaftar dengan majoritinya komuniti Bidayuh.

Berita Harian X