Isnin, 6 Disember 2021 | 1:03pm
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI

Uggah berdepan calon PKR, PSB

SPAOH: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berdepan saingan tiga penjuru dengan calon PKR dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dalam perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban.

Uggah, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), akan dicabar oleh Mikail Mathew Abdullah (PKR) dan Andria Dundang @ Andria Gelayan (PSB).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Bukit Saban Charlie Keling membuat pengumuman itu selepas proses penyerahan borang pencalonan selesai di pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Kecil Spaoh di sini.

"Saya sudah semak dan berpuas hati serta tiada calon ditolak kertas penamaannya," kata beliau.

Terdahulu, Uggah yang diiringi Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat sebagai pencadang dan seorang penyokong, tiba di pusat itu pada 8.20 pagi.

Mikail calon pertama yang tiba pada 7.50 pagi, manakala Andria muncul 20 minit kemudian, masing-masing diiringi pencadang dan penyokong.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016, Uggah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN)-PBB, menang kerusi Bukit Saban selepas memperoleh majoriti 4,599 undi menewaskan calon PKR, Noel Changgai yang hanya mendapat 925 undi.

Proses penamaan calon berlangsung tanpa kehadiran penyokong parti bagi mematuhi prosedur operasi standard pencegahan jangkitan COVID-19 dan individu yang ingin memasuki pusat penamaan calon harus melakukan ujian RTK.

Anggota dan pegawai polis turut melaksanakan kawalan keselamatan bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar. – BERNAMA

Berita Harian X