Isnin, 6 Disember 2021 | 9:54am
Calon Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) bagi kerusi DUN Dudong, Julius Enchane tiba di pusat penamaan calon di Perpustakaan Awam Sibujaya bersama penyokong Vincent Nawin dan pencadangnya, Wen Achad. - Foto NSTP/MOHD ROJI KAWI
Calon Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) bagi kerusi DUN Dudong, Julius Enchane tiba di pusat penamaan calon di Perpustakaan Awam Sibujaya bersama penyokong Vincent Nawin dan pencadangnya, Wen Achad. - Foto NSTP/MOHD ROJI KAWI

Lapan calon di DUN Dudong

SIBU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong menyaksikan pertandingan lapan penjuru antara Gabungan Parti Sarawak (GPS), DAP, Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PDBSB) serta dua calon Bebas.

Pegawai Pengurus pilihan raya, Abdul Razak Awang Bini mengumumkan senarai calon yang bertanding pada jam 11.15 pagi, selepas proses penamaan di Perpustakaan Awam Sibujaya.

"Saya sudah menyemak kertas pencalonan dan selepas selesai, saya berpuas hati serta tiada calon ditolak kertas penamaannya," katanya.

Berikutan jumlah calon bertanding, DUN Dudong menjadi kerusi panas pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) yang akan diadakan pada 18 Disember ini.

GPS yang diwakili Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing berdepan lima calon parti pembangkang.

Mereka ialah Paul Ling Fong dari DAP, calon PSB, Wong Hie Ping, calon PBDSB, Julius Enchane, calon PBK, Jane Lau Sing Wee dan calon ASPIRASI, Josephine Lau Kiew Peng.

Turut bertanding di Dudong, dua calon Bebas, Engga Unchat dan Fadhil Mohamad Isa.

Datuk Seri Tiong King Sing.
Datuk Seri Tiong King Sing.

Berita Harian X