Sabtu, 23 Oktober 2021 | 3:23pm
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah

PAS usaha elak pertembungan untungkan PH

KUALA LUMPUR: PAS akan terus berusaha mengelakkan pertembungan yang menguntungkan Pakatan Harapan (PH) berikutan pendirian UMNO yang tidak mahu bekerjasama dengan BERSATU pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata pihaknya juga akan menjadi orang tengah di antara UMNO dan BERSATU demi kebaikan Islam dan Melayu walaupun menyedari ketegangan yang melatari hubungan kedua-dua parti itu.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, berkata pendirian PAS adalah konsisten untuk memperkasakan Mufakat Nasional (MN) bersama UMNO dan mempertahankan Perikatan Nasional (BN) bersama BERSATU.

"Pendirian PAS sehingga kini, memperkasakan MN dan mempertahankan PN.

"Kalau UMNO tidak mahu kerjasama dengan BERSATU, kita cuba usaha supaya tidak berlaku pertembungan yang menguntungkan PH.

"Sebab itu kami terus berusaha sebagai orang tengah, untuk kebaikan Islam dan Melayu," katanya kepada BH, hari ini.

Khamis lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan BERSATU dalam mana-mana pilihan raya.

Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, berkata perkara terbabit sudah diputuskan oleh perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO.

"Tidak timbul isu UMNO cepat atau lambat membuat keputusan (untuk bekerjasama).

"Sebaliknya perkara itu sudah dimuktamadkan pada perhimpunan lalu yang memutuskan bahawa UMNO tidak pernah akan bekerjasama dengan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Noktah!," katanya.

Kerjasama UMNO dan PAS yang bersama dalam MN pada PRN Melaka juga masih menjadi tanda tanya dan setakat hari ini, belum ada perbincangan rasmi berhubung pembahagian kerusi.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek, berkata pihaknya masih menanti jemputan rasmi daripada UMNO untuk berbincang dan bersedia memberikan kerjasama bagi memastikan kesejahteraan politik orang Melayu dan Islam.

Semalam, Pengerusi PN merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan itu akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Bekas Perdana Menteri itu, berkata rundingan dalam kalangan parti PN termasuk PAS dan GERAKAN akan diadakan segera untuk memastikan kemenangan gabungan itu.

"Kita menjangkakan keputusan UMNO enggan bekerjasama namun mengambil pendekatan berhemah untuk menunggu parti itu untuk menyatakan pendirian.

"Ia termasuk keputusan sama ada sedia bekerjasama bagi mengelak pertembungan pada PRN Melaka," katanya.

Berita Harian X