Khamis, 21 Oktober 2021 | 11:29pm
Ahmad Zahid (tengah) pada sidang media di Bukit Katil, Melaka. - Foto NSTP/SYAFEEQ AHMAD
Ahmad Zahid (tengah) pada sidang media di Bukit Katil, Melaka. - Foto NSTP/SYAFEEQ AHMAD

Tidak akan ada kerjasama UMNO dan BERSATU

MELAKA: UMNO tidak akan bekerjasama dengan BERSATU dalam mana-mana dalam pilihan raya.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara terbabit sudah diputuskan oleh perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO.

"Tidak timbul isu UMNO cepat atau lambat membuat keputusan (untuk bekerjasama). Sebaliknya perkara itu sudah dimuktamadkan pada perhimpunan lalu yang memutuskan bahawa UMNO tidak pernah akan bekerjasama dengan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Noktah!," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, di Bukit Katil, di sini malam ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Ketika ditanya, sama ada UMNO tidak akan bekerjasama dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kelak, Ahmad Zahid berkata, "saya tidak nampak ke arah itu".

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini yang dilaporkan berkata gabungan parti itu tidak boleh menunggu lama untuk mendapatkan keputusan kerjasama politik daripada UMNO untuk menghadapi PRN Melaka.

Sebaliknya, Muhyiddin berkata, PN yang menggabungkan BERSATU, PAS dan GERAKAN itu bersedia untuk bertanding bersendirian sekiranya UMNO dan BN tidak memberi kata putus mengenai perkara itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO mempunyai potensi besar untuk memenangi PRN Melaka pada 20 November ini.

"Kita merasakan potensi itu (kemenangan) sangat besar berdasarkan kepada permasalahan pihak yang berada di sebelah sana (pembangkang) yang tentunya mempunyai isu tersendiri.

"Tetapi kemenangan kita bukannya menunggang permasalahan orang lain. Kita bersandarkan kebolehan UMNO untuk mentadbir semula kerajaan negeri," katanya.

Berita Harian X