Sabtu, 25 September 2021 | 4:16pm
(Gambar fail) Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
(Gambar fail) Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

PRU-15: BERSATU teruskan agenda perpaduan politik Melayu Islam

KUALA LUMPUR: BERSATU akan meneruskan agenda perpaduan politik Melayu Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Pada masa sama, katanya, kemakmuran rakyat tanpa mengira bangsa mahupun agama, akan diberi perhatian meskipun agenda perpaduan politik Melayu Islam diangkat sebagai 'strategi' menjelang PRU akan datang.

Justeru, beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) perlu diperkuatkan supaya gabungan parti itu dapat berfungsi sewajarnya dalam menjaga kebajikan rakyat dan aspek pemulihan negara.

"Bagi saya, kita meneruskan agenda perpaduan politik Melayu Islam demi kemakmuran rakyat semua bangsa dan agama, serta biar rakyat membuat penilaian.

"Fokus kita ialah PN. Kuatkan PN untuk menjaga rakyat dan memulihkan negara. PN tidak akan terkesan sekiranya ada pertembungan banyak penjuru.

"Kita akan jalan terus bersama 'founding partners' (pengasas bersama) dalam PN, iaitu PAS, GERAKAN, SAPP (Parti Maju Sabah) dan STAR (Parti Solidariti Tanah Airku)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Saiful sekali gus meminta semua parti komponen PN untuk membina jentera pilihan raya secara bersama.

"Semangat ukhuwah dan Keluarga Malaysia harus kita jiwai dan zahirkan dalam perjuangan membela rakyat. Jangan berpecah. Bina kekuatan parti dan gabungan kita demi rakyat.

"Kita mesti bergerak bersama dan mengaturkan aktiviti secara bersama di seluruh negara. Ia supaya rakyat nampak bahawa kita benar-benar ikhlas menjaga perpaduan dan kestabilan dalam negara," katanya.

Beliau berkata, PN juga meletakkan standard tinggi pada negara, dengan bertegas dalam isu berkait ketelusan dan integriti, selain menolak salah laku serta penyelewengan.

"Dalam PN, kita meneruskan komitmen memulihkan negara daripada COVID-19 dan cabaran ekonomi," katanya.

Berita Harian X