Jumaat, 27 Ogos 2021 | 4:13pm
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

Tiada tempoh rehat untuk menteri baharu

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang mengingatkan tiada tempoh 'bulan madu' untuk Jemaah Menteri baharu yang dibentuk hari ini, dalam melaksanakan tugas.

Ini disebabkan kebanyakan anggota Kabinet itu mempunyai pengalaman sebagai menteri dan timbalan menteri sebelum ini.

Selain itu, mereka turut mempersoal beberapa pemimpin yang dilihat mempunyai komitmen untuk berkhidmat seperti Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said tidak dilantik.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata semua menteri tidak mempunyai banyak masa untuk membuktikan prestasi mereka kepada rakyat, ketika negara memerlukan langkah pemulihan segera, akibat pandemik COVID-19.

"Tidak ada tempoh 'bulan madu' kerana hampir semua yang dilantik ialah mereka yang pernah menjadi menteri atau timbalan sebelum ini.

"Jumlah ahli Jemaah Menteri juga sama seperti di bawah kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini. Ini bukan satu perkara yang baik," kata Pengarah Komunikasi PKR itu kepada BH, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini mengumumkan anggota Kabinetnya, yang terdiri daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri.

Ahmad Fahmi turut berpendapat, Perdana Menteri tidak mempunyai banyak pilihan dalam memilih anggota Kabinetnya, selain kemungkinan berdepan pelbagai tekanan dalaman daripada pelbagai pihak dalam parti.

"Selain itu, saya lihat seharusnya orang seperti Datuk Seri Azalina Othman dimasukkan (dalam Kabinet). Tapi sayang itu tidak berlaku.

"Saya harap kerajaan akan mempertimbang beliau (dilantik) sebagai Speaker (Dewan Rakyat)," katanya.

Hannah Yeoh. - Foto fail NSTP
Hannah Yeoh. - Foto fail NSTP

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh turut berpendapat, tidak banyak perubahan yang dilihat pada Kabinet baharu itu, berbanding Kabinet sebelum ini.

Pemimpin DAP itu juga mempersoal sebab Azalina tidak dilantik dalam Kabinet berkenaan, selain turut mencadangkan Azalina dilantik sebagai Speaker, bagi melaksanakan semak dan imbang yang lebih baik.

Ahli Parlimen Muar yang juga Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyifatkan peluang dibazirkan dengan tidak melantik beberapa pemimpin yang baik dan mempunyai komitmen untuk membina negara dalam Kabinet baharu itu.

Katanya, pemimpin berkenaan termasuk Azalina; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

"Mengapa lantik lagi Menteri yang jelas tidak mempunyai prestasi yang baik?

"Mengapa pemimpin yang ada rekod buruk masih lagi jadi sebahagian daripada kerajaan ini"? katanya.

Berita Harian X