Khamis, 26 Ogos 2021 | 12:07pm
Ismail Sabri (dua dari kanan) berbincang bersama Anwar, Mohamad dan Guan Eng di di Putrajaya, semalam. - Gambar Pejabat Perdana Menteri.
Ismail Sabri (dua dari kanan) berbincang bersama Anwar, Mohamad dan Guan Eng di di Putrajaya, semalam. - Gambar Pejabat Perdana Menteri.
Bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke. - Foto NSTP/IQMAL HAQIM ROSMAN
Bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke. - Foto NSTP/IQMAL HAQIM ROSMAN

Pertemuan Perdana Menteri, pembangkang rintis persefahaman

SEREMBAN: Pertemuan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin pembangkang mampu mengubah landskap dan budaya politik tanah air berasaskan persefahaman, pada masa hadapan.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata persefahaman itu mampu dijayakan, jika disusuli dengan langkah kukuh untuk membawa pembaharuan.

"Sudah tiba masanya semua pihak merealisasikan pertemuan di antara Perdana Menteri dengan pemimpin pembangkang semalam, sebagai langkah mewujudkan persefahaman yang baik di antara kedua-dua pihak.

"Saya yakin pertemuan empat pemimpin utama itu semalam berpotensi mengubah landskap dan budaya politik tanah air, sekiranya dapat disusuli dengan langkah konkrit untuk membawa pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan, selain memperkasa institusi Parlimen.

"Cabaran sekarang bagaimana merealisasikan semangat yang dipersetujui itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Parti kerajaan dan pembangkang boleh bekerjasama dalam beberapa aspek. - FotoBERNAMA
Parti kerajaan dan pembangkang boleh bekerjasama dalam beberapa aspek. - FotoBERNAMA

Perdana Menteri memaklumkan kerajaan mencapai persetujuan bersama barisan pemimpin pembangkang bagi memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif.

Ini dirintis menerusi satu pertemuan antara Perdana Menteri dengan pemimpin utama parti diketuai Ketua Pembangkang dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Pejabat Perdana Menteri, semalam.

Perdana Menteri menjelaskan ia membabitkan fungsi menyemak dan imbang tadbir urus eksekutif supaya lebih fokus, telus dan memenuhi kehendak rakyat.

Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban menyifatkan pertemuan terbabit sebagai peristiwa bersejarah dalam politik Malaysia dan sikap lama melihat pembangkang sebagai musuh politik perlu ditolak.

Beliau berkata, ruang yang cukup besar harus diberikan kepada usaha mewujudkan persefahaman yang akan memberi impak positif dari segi jangka panjang kepada kepentingan negara ini.

Katanya, setiap ahli politik mempunyai tanggungjawab mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem politik negara.

"Paradigma lama parti kerajaan melihat parti pembangkang sebagai musuh politik semata-mata atau sebaliknya, perlu dianjak dan diubah.

"Kedua-dua pihak mempunyai peranan masing-masing dan perlu ada kerjasama walaupun kami tetap akan berlawan antara satu sama lain dalam pilihan raya," katanya.

Berita Harian X