Rabu, 4 Ogos 2021 | 10:24pm
Annuar anggap tindakan menteri meletak jawatan sebagai kurang wajar. - Foto BERNAMA
Annuar anggap tindakan menteri meletak jawatan sebagai kurang wajar. - Foto BERNAMA

Menteri UMNO tidak wajar letak jawatan

KUALA LUMPUR: Tidak wajar untuk menteri dan timbalan menteri UMNO meletakkan jawatan ketika rakyat berdepan kesukaran akibat pandemik COVID-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata biarpun berbeza pendapat, semua menteri dari UMNO tidak boleh meninggalkan tanggungjawab mereka begitu sahaja.

Katanya, semua menteri UMNO terikat dengan sumpah jawatan dan berusaha menguruskan kerajaan, terutama menangani COVID-19.

"Katakanlah Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) tengah sibuk dengan vaksinasi. Tiba-tiba keluar kerajaan.Macam itu ke tanggungjawab kita?

"Sama juga Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan) bertanggungjawab soal kesihatan. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri. Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Menteri Kanan Luar Negeri) bertanggungjawab soal COVID-19 keseluruhannya.

"Kebetulannya semua menteri UMNO. Oleh kerana satu perintah, kita kena tinggalkan sebegitu. Tak boleh begitu. Kita kena duduk. Fikir betul-betul. Yang mana dahulu yang mana kemudian. Yang mana nak sokong atau tidak. Ada tempoh sebulan lagi sebelum Parlimen bersidang," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program temu bual yang disiarkan secara langsung.

Annuar berkata, apa yang penting ketika ini ialah tugas kepada rakyat perlu diteruskan dan diutamakan.

Ditanya mengenai dakwaan kerajaan menderhaka kepada Raja-Raja Melayu, beliau berkata, tuduhan itu dicipta oleh pihak yang ingin menjatuhkan kerajaan.

Katanya, jika benar wujud penderhakaan, sudah pasti Yang di-Pertuan Agong tidak memberi perkenan Perdana Menteri untuk menghadap baginda.

"Saya antara orang yang melihat jika benar berlaku penderhakaan. Kebetulan saya ada pengalaman duduk dalam Kabinet Perdana Menteri lain, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Apa yang saya perhatikan, hubungan Yang di-Pertuan Agong bersama Perdana Menteri (Muhyiddin) adalah cukup istimewa kerana Perdana Menteri tanpa gagal menghadap baginda. Dahulu ada Perdana Menteri tidak begitu.

"Setiap Rabu, Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong. Kemudian mempengerusikan mesyuarat Kabinet dan agenda utamanya adalah menyampaikan titah Yang di-Pertuan Agong.

"Sama ada perkara kecil mahupun tiada dalam minit mesyuarat, Perdana Menteri akan bentangkan dan mengambil serius pandangan Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Berita Harian X