Selasa, 9 March 2021 | 12:06am
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau

Madius nafi sertai PN

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau menafikan spekulasi mengaitkan namanya sebagai antara Ahli Parlimen dari Sabah yang dikatakan akan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau, malam ini, Ahli Parlimen Tuaran itu menyifatkan berita mengenainya yang disiarkan sebuah portal hari ini sebagai fitnah dan palsu.

"Saya sekeras-kerasnya menafikan dakwaan yang mengatakan saya akan menyertai PN. Saya mahu pihak yang berkenaan berhenti menyebarkan fitnah ini.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika ia tidak dihentikan dan saya berharap penjelasan saya ini dapat menjernihkan keadaan," katanya.

Madius yang juga satu-satunya Ahli Parlimen mewakili UPKO mendakwa berita palsu itu sengaja disebarkan semata-mata untuk mewujudkan keadaan tidak stabil dalam kalangan parti pembangkang.

Madius memenangi kerusi Parlimen Tuaran atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 tetapi bertindak membawa UPKO keluar BN untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Sebuah portal hari ini mendedahkan Madius adalah seorang daripada dua Ahli Parlimen dari Sabah yang disebut akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Seorang lagi yang disebut ialah Ahli Parlimen Putatan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Awang Husaini Sahari, namun beliau turut menafikan berita itu.

Berita Harian X