Selasa, 23 Februari 2021 | 3:17pm
 Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pada sidang media selepas membuat lawatan pemantauan SOP di Kota Permai Golf & Country Club. - Foto NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pada sidang media selepas membuat lawatan pemantauan SOP di Kota Permai Golf & Country Club. - Foto NSTP/Muhd Asyraf Sawal

BERSATU harap UMNO kekal dalam PN hadapi PRU-15

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berharap UMNO masih bersama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata sekiranya berlaku pertembungan nanti, ia akan merugikan ketiga-tiga parti besar dalam PN.

"Walau apapun, ...kita masih terbuka untuk menerima malah mengharapkan UMNO bersama-sama dengan PN agar pertandingan tiga penjuru dapat dielakkan.

"Kita perlukan kerajaan yang stabil, kalau kita bertembung di kerusi majoriti Melayu, kerugian kepada kedua-dua belah pihak (BERSATU dan UMNO).

"...dan apa yang kita harapkan tidak akan tercapai. Ini perkara yang kita perlu sama-sama fikir, ...yang UMNO perlu fikirkan bahawa zaman di mana sebuah parti politik mendominasi politik Malaysia sudah tamat," katanya hari ini.

Beliau mengulas laporan media berhubung keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO minggu lalu yang dikatakan sudah memutuskan tidak akan bekerjasama dengan BERSATU dalam PRU15.

Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan mengadakan lawatan kerja ke beberapa fasiliti sukan bagi meninjau tahap pematuhan pembukaan sektor sukan dan rekreasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Antara lokasi yang dilawati adalah Padang Latihan Skuad Bola Sepak Selangor (FAS), sebuah pusat gimnasium dan Kelab Golf Kota Permai di Kota Kemuning.

Berita Harian X