Sabtu, 12 Disember 2020 | 11:24am
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. ARKIB NSTP
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. ARKIB NSTP

Gabungan besar PN, BN dan GPS tak diperlukan  

KUALA LUMPUR: Penubuhan 'coalition over coalition' atau gabungan selepas gabungan tidak diperlukan kerana ia hanya strategi survival untuk mendapat kekuatan daripada sokongan parti terbesar, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebaliknya mesti membina kekuatan melalui undi dan mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

"Kita memerlukan kerajaan yang kuat dengan mendapat mandat sebenar tanpa berlengah. Sesuatu yang tidak menjurus kepada objektif berkenaan adalah diragui dan tidak diperlukan.

"Pakatan besar atau 'grand coalition' membabitkan PN, BN dan GPS seperti dicadangkan oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) mestilah jelas tujuan dan matlamat akhirnya," katanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, sebelum ini kerajaan PN ditubuhkan atas kerjasama Ahli Parlimen biarpun pada pandangannya ia bukanlah cerminan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

"Tindakan itu gagal mewujudkan kestabilan politik yang diharapkan. Apakah jaminan yang 'coalition over coalition' ini akan membuahkan kestabilan politik yang Malaysia perlukan.

"Dalam amalan demokrasi, kekuatan sebenar kerajaan mesti datang daripada akar umbi dan rakyat yang harus diperoleh melalui PRU.

"Di negara demokrasi termaju, penubuhan kerjasama politik hanya berlaku jika parti terbesar tidak mempunyai cukup kerusi untuk mentadbir negara dengan berkesan dan selalunya dimeterai sesudah pilihan raya," katanya.

Berita Harian X