Rabu, 18 November 2020 | 11:59am

PRK Gerik: Perikatan Nasional Perak adakan mesyuarat bincang calon

IPOH: Perikatan Nasional (PN) Perak akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan calon sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) Gerik diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Hasbullah Osman, Isnin lalu.

Menteri Besar yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata perkara itu akan dibincangkan UMNO, BERSATU dan PAS dalam masa terdekat.

"Kami perlu mencapai konsensus sebelum membuat sebarang keputusan dan BERSATU akan sentiasa bekerjasama dengan UMNO dan PAS," katanya kepada wartawan selepas melancarkan inisiatif kerajaan negeri, redONE Back to Basics Program di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

#taskid sendstory

Hasbullah, yang juga Ahli Parlimen Gerik selama empat penggal, meninggal dunia kira-kira jam 7 malam Isnin lalu kerana serangan jantung di Hospital Raub.

Mengenai cadangan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, supaya tiada pertandingan membabitkan parti politik dalam PRK Gerik, Ahmad Faizal Azumu menyambut baik cadangan susulan peningkatan kes COVID-19.

"Ini cadangan yang boleh diterima dan cara terbaik adalah mengelak diadakan pilihan raya pada masa ini. Tempoh berkempen akan menyebabkan situasi CVOID-19 menjadi lebih buruk daripada sekarang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, berkata sebaiknya UMNO mengekalkan kerusi itu kerana ia kerusi tradisi parti berkenaan.

"Sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk meneruskan PRK Parlimen Gerik, tidak ada salah jika calon Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi itu dan menang tanpa bertanding.

"Hanya satu calon yang akan dinamakan dan saya yakin ia akan disokong PAS, BERSATU dan komponen lain dalam PN. Alangkah baiknya jika DAP, PKR dan AMANAH (Parti Amanah Negara) tidak bertanding kerana situasi COVID-19 sekarang.

"Ketika ini, kita sudah mempunyai kerajaan dan dengan hanya satu kerusi, ia tidak akan mengubah apa-apa.

"Saya percaya jika semua pihak terbuka, untuk menerima BN sebagai calon tunggal, tiada sebab jumlah kes COVID-19 akan meningkatkan kerana tiada masa berkempen dan aktiviti bertemu rakyat," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) , Hasbullah mewakili UMNO menang selepas memperoleh majoriti 5,528 undi, mengalahkan calon dari BERSATU dan PAS.

Menteri Besar Perak yang juga Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. - Foto NSTP
Menteri Besar Perak yang juga Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. - Foto NSTP
Berita Harian X