Isnin, 16 November 2020 | 6:04pm

PAS sokong pakatan besar parti politik - Mohd Amar

KOTA BHARU: PAS menyambut baik cadangan pembentukan 'grand coalition' atau pakatan besar dalam kalangan beberapa parti politik demi kepentingan negara dan rakyat.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata langkah itu penting kerana ia turut membantu dalam mengukuhkan lagi Perikatan Nasional (PN) yang kini menunjangi pentadbiran di peringkat Persekutuan.

"Pada pandangan saya, memang ia cadangan yang baik jika ada mana-mana parti menerima asas perjuangan PN.

"Kalau dari segi politik (gabungan besar) mampu kukuhkan PN dan yang kedua, demi kepentingan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Wacana Memartabatkan Legasi Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di H Elite Hotel, di sini, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa, mencadangkan pembentukan gabungan politik besar membabitkan parti politik yang menolak Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, sudah terlalu lama politik negara berlegar di sekeliling dua tiga personaliti bagi mempertahan atau menentang individu tertentu.

"Cukup-cukuplah. Malah penyatuan ummah tidak harus terbatas setakat UMNO, PAS, BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

"Saya ingin menganjurkan pembentukan suatu grand coalition yang membabitkan sekurang-kurangnya 12, 13 parti politik yang sealiran," katanya di Facebook hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, PAS berdiri teguh dan memberi sokongan penuh terhadap Belanjawan 2021 yang kini dalam peringkat perbahasan di Dewan Rakyat.

Katanya, sebarang teguran dan pandangan dikemukakan dalam sesi perbahasan adalah perkara biasa.

"Kita bersama dengan kerajaan PN dan perdana menteri, jadi belanjawan kita akan sokong. Kita juga berharap semua ahli parlimen akan menyokong Belanjawan 2021," katanya.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (dua dari kanan) merasmikan pelancaran buku Wacana Memartabat Legasi Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena Sambutan 3 Dekad Pentadbiran membangun bersama Islam di Tunjung, Kota Bharu. - Foto NSTP/ Nik Abdullah Nik Omar
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (dua dari kanan) merasmikan pelancaran buku Wacana Memartabat Legasi Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena Sambutan 3 Dekad Pentadbiran membangun bersama Islam di Tunjung, Kota Bharu. - Foto NSTP/ Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X