Ahad, 1 November 2020 | 4:04pm
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA

Larang kempen ke rumah, perhimpunan politik - Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disarankan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya termasuk melarang kempen dari rumah ke rumah dan perhimpunan ceramah politik.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata langkah drastik itu boleh dipatuhi semua pihak dalam usaha membendung tercetusnya gelombang baharu penularan COVID-19, berpunca penganjuran pilihan raya.

Beliau berkata, orang politik boleh beralih dengan memanfaatkan teknologi seperti media sosial sebagai platform berkempen seiring norma baharu.

"Paling mustahak sekarang ialah COVID-19. Ini kerana ia membabitkan nyawa dan kita tahu sehingga hari ini kita masih 'berperang' dengan COVID-19, malah keadaan sekarang masih serius.

"Syor pertama saya, tidak boleh lagi ada lawatan rumah ke rumah untuk berkempen. Itu salah satu yang boleh dipertimbangkan dan tiada ceramah politik. Kedua-duanya tidak dibenarkan. Itu salah satu SOP yang boleh diperketatkan.

"Kedua, pengundian pos yang bukan semua pengundi boleh mengundi secara pos melainkan mereka berdaftar. Ketiga, berkempen melalui media sosial. Ini boleh dibuat dan banyak saluran media sosial boleh digunakan untuk berkempen, sekali gus dapat mengelak kontak secara langsung dalam kalangan pekerja dan orang terbabit dengan kempen pilihan raya," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Lam Thye berkata, soal kepatuhan SOP ialah tanggungjawab bagi mengelak pisang berbuah dua kali seperti berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tempoh hari.

Katanya, PRN itu membuktikan kegagalan untuk mematuhi SOP sehingga menjadi punca penularan COVID-19 apabila masing-masing ghairah berpolitik sehingga akhirnya menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan wabak berkenaan.

Justeru, beliau mencadangkan Malaysia mempelajari contoh di New Zealand dan Singapura yang melangsungkan pilihan raya tetapi dapat mengawal rantaian penularan COVID-19.

"Kalau PRK atau PRN boleh dijalankan, kami ingin mencadangkan supaya pihak SPR berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagaimana SOP itu boleh diperketatkan lagi.

"Saya juga cadangkan SPR boleh lihat New Zealand dan Singapura yang mereka adakan pilihan raya dalam tempoh COVID-19. Di New Zealand tidak ada laporan bahawa ada peningkatan kes. Ini mungkin sesuatu yang boleh kita pelajari.

"Singapura pun sama, mereka buat pilihan raya tetapi tidak ada peningkatan (kes COVID-19). Oleh itu, kita boleh mempelajari dari kedua-dua negara apa yang praktikal dan boleh dibuat di Malaysia," katanya.

Berita Harian X