Jumaat, 16 Oktober 2020 | 2:18pm
Bongkah batu menyerupai seekor sapi di Taman Warisan Batu Sapi, Sandakan. - Foto NSTP/POLIANA RONNIE SIDOM
Bongkah batu menyerupai seekor sapi di Taman Warisan Batu Sapi, Sandakan. - Foto NSTP/POLIANA RONNIE SIDOM

PRK Batu Sapi: BERSATU belum pertimbang bertanding

KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) belum memutuskan akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, Disember ini.

Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata setakat ini belum ada keputusan dibuat sama ada oleh BERSATU dan PN mengenai PRK Batu Sapi.

"Sebarang kenyataan akan dibuat melalui mesyuarat peringkat parti dan PN nanti. Masa pun masih panjang lagi.

"Setakat ini belum ada keputusan mengenai PRK Batu Sapi, tapi setiap kekosongan perlu diisi," katanya ketika dihubungi BH di sini.

Bagi PBS pula, Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata parti itu juga belum memutuskan mengenai PRK Batu Sapi.

"Banyak faktor perlu diambil kira termasuklah pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, kita akan umum (sama ada mahu tanding) apabila dekat tarikh penamaan calon," katanya dalam jawapan ringkasnya di sini.

Setakat ini empat parti sudah mengesahkan untuk tidak bertanding pada PRK Batu Sapi iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Pakatan Harapan (PH).

PRK Batu Sapi perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong, pada 2 Oktober lalu.

Mendiang Vui Keong memenangi kerusi itu atas tiket Parti Warisan Sabah (WARISAN) dengan majoriti 4,619 undi mengalahkan pencabar terdekatnya, Datin Linda Tsen (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Pada Selasa lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Batu Sapi pada 5 Disember, manakala hari penamaan calon pula ditetapkan pada 23 November.

Berita Harian X